Pensyarah
pro-Umno, Ridhuan Tee Abdullah (gambar) hari ini mengecam tindakan
seorang calon Melayu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kajang yang berucap di gereja demi kepentingan politik.
Menulis di ruangannya di akhbar Sinar Harian, Ridhuan mengkritik
langkah calon tersebut, yang memasuki serta berucap dalam gereja Holy
Family Kajang, sebagai perbuatan liberal dan keterlaluan.
"Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil,
lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika
mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau
penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut
‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam. Begitulah berhati-hatinya
orang Melayu terhadap cara hidup mereka.
"Kini, tidak lagi. Melayu tanpa segan silu masuk ke rumah ibadat orang
bukan Islam demi kepentingan politik. Tidak mustahil satu hari nanti,
mereka akan bersama-sama menimbang khinzir. Melayu bolehlah katakan!"
tulisnya.
Beliau menasihatkan calon PRK Kajang itu agar jangan menggadaikan maruah demi kepentingan politik.
"Saya memohon kepada sesiapa pun yang ingin bertanding di Kajang,
jangan kerana terlalu obses untuk menang, kita menggadaikan
segala-galanya. Jangan gadaikan maruah agama, bangsa dan negara, untuk
mendapat undi dan nafsu serakah politik. Ingatlah, sekali maruah dan hak
tergadai, sukar untuk dicari ganti," katanya.
Bagaimanapun, beliau berpendapat tiada salahnya masuk ke gereja demi tujuan dakwah.
"Saya tidak melarang orang Melayu untuk masuk ke dalam rumah ibadat
bukan Islam jika ada tujuan dakwah, seperti pernah saya lakukan membantu
membawa ibu ke tokong untuk dia sembahyang, ziarah kubur ibu bapa dan
lain-lain, ihsan anak kepada orang tua," katanya.
Sebelum ini, calon Pakatan Rakyat (PR) untuk PRK Kajang, Datuk Seri
Anwar Ibrahim berucap di gereja selepas upacara keagamaan mingguan
penganut Kristian di gereja tersebut.
Langkahnya mendapat sokongan ramai penganut Kristian yang hadir, namun
dikecam Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) dan beberapa mufti
negeri.
PRK Kajang diadakan ekoran peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) di sana.
Pakatan Rakyat (PR) menamakan Anwar sebagai calon PRK sehari selepas peletakan jawatan Lee.
Calon lain yang bakal bertanding adalah Datin Paduka Chew Mei Fun untuk
Barisan Nasional dan dua calon bebas termasuk Datuk Zaid Ibrahim.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tarikh 23 Mac sebagai hari PRK
manakala 11 Mac untuk hari penamaan calon. - 24 Februari, 2014.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment