MoU
yang ditandatangani Khalid membolehkan kerajaan negeri mengambil alih 4
syarikat konsesi air di negeri itu serta suntikan dana RM2 billion oleh
kerajaan pusat, selain daripada memberikan pampasan RM9.65 billion
kepada syarikat tersebut. – Gambar Pejabat Menteri Besar Selangor, 26
Februari, 2014.
Pertelingkahan berhubung isu air di Selangor dijangka dapat
diselesaikan dalam masa terdekat apabila Menteri Besar Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan
Menteri Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air, Datuk Seri Maximus
Ongkili sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Khalid menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan kerajaan negeri
mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri berkenaan dengan
suntikan dana RM2 bilion oleh kerajaan pusat bagi pengambil alihan
saham-saham syarikat konsesi.
Antara isi kandungan perjanjian tersebut termasuklah kerajaan negeri
yang dipimpin Pakatan Rakyat (PR) akan membenarkan Putrajaya meneruskan
Loji Rawatan Air Langat 2.
Selain itu, kerajaan negeri juga akan memberikan pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di Selangor.
Ekoran pengambilalihan tersebut, satu konsortium air untuk menguruskan
industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul
Ehsan Berhad (KDEB).
Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambil alihan syarikat konsesi tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan.
Maklumat yang diperoleh dari Pejabat Menteri Besar Selangor itu turut
menyatakan, melalui pengambil alihan ini, ia diharap mampu menyelesaikan
masalah air kerana kerajaan negeri memiliki kemampuan kewangan dan
tenaga kerja berpengalaman di samping pengurusan air yang lebih cekap
dan mantap.
Berdasarkan kenyataan bersama yang dikeluarkan kerajaan negeri Selangor
dan kementerian berkenaan petang tadi, Loji Langat 2 akan diteruskan
pembinaannya dalam tempoh 30 hari selepas MoU berkenaan ditandatangani.
"Kerajaan Persekutuan juga bersetuju menjadi pemudah cara bagi kerajaan
negeri Selangor melaksanakan penstrukturan semula industri melalui Akta
Perkhidmatan Industri Air (WSIA) 2006 dan mana undang-undang terpakai.
"Sebagai balasan, kerajaan negeri pula akan mengeluarkan kebenaran
merancang untuk Loji Rawatan Air Langat 2 dan Sistem Agihannya
berkuatkuasa hari ini.
"Dan kita akan memastikan semua kelulusan dan kebenaran yang berkait
pembangunan projek Langat 2 diluluskan dalam masa 30 hari dari tarikh
memorandum ini ditandangani," kata kenyataan tersebut.
Kerajaan negeri sebelum ini mengambil keputusan membenarkan KDEB
membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion bagi memulakan proses
pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air.
Bagaimanapun, menurut kenyataan kepada Bursa Malaysia, mereka menolak tawaran itu.
Surat tawaran kepada Syabas, Puncak Niaga, Konsortium Abass Sdn Bhd dan
Syarikat Pengeluar Air Selangor Holding (Splash) juga sudah dikeluarkan
KDEB.
Khalid sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan pusat yang ditadbir
Barisan Nasional (BN) melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan
Air (KeTTHA) juga bersetuju menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air
(WSIA) 2006 bagi mengambil alih konsortium air di negeri berkenaan.
"Kementerian melalui surat bertarikh 9 September 2013 menyatakan hasrat
mengambilalih hal ehwal dan pengurusan air mengguna pakai Seksyen 114
WSIA sekiranya tiada penyelesaian berhubung rancangan pengambil alihan
konsesi air oleh kerajaan negeri dengan syarikat konsesi pada 31
Disember 2013," katanya.
Kerajaan Negeri Selangor juga meletakkan syarat agar Suruhanjaya
Perkhidmatan Air Negara (Span) melantik dua pentadbir syarikat konsesi
berkenaan iaitu Presiden Kumpulan Darul Ehsan Suhaimi Kamaralzaman dan
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar (MBI) Faekah Husin.
Rancangan pengambilalihan berkenaan dilakukan ekoran rungutan dan
kekhuatiran masyarakat terhadap masalah bekalan air yang melanda
Selangor.
Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian
apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan kerajaan PR selepas Pilihan
Raya Umum 2008 apabila pakatan pembangkang berkenaan menewaskan BN di
Selangor.
Ekoran kekerapan berlakunya gangguan bekalan air, kedua-dua pihak,
kerajaan negeri dan Syabas sering bertelagah menyalahkan satu sama lain.
BN sering kali menggesa kerajaan PR Selangor untuk membenarkan
pembinaan Loji Langat 2 bagi mengatasi masalah kekurangan takungan air
bersih di negeri tersebut, dan mereka turut menjadikannya sebagai isu
bagi kempen Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Khalid turut dilaporkan sebelum ini berkata masalah air di negeri
Selangor hanya boleh diselesaikan jika PR berjaya menawan Putrajaya. –
26 Februari, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment