Sultan
Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah melarang semua kerabat diraja
Selangor daripada campur tangan, melibatkan diri atau membiarkan
mana-mana pihak menggunakan kedudukan mereka untuk kepentingan mana-mana
parti politik dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri
(DUN) Kajang.
Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani
berkata baginda juga berharap semua parti dan ahli politik tidak
mengaitkan pihak istana dalam kempen pilihan raya kecil itu.
"Titah larangan ini dikeluarkan berikutan terdapatnya laporan akhbar
sama ada di media cetak atau media elektronik beserta gambar pemimpin
parti tertentu bersama dengan ahli kerabat diraja Selangor dengan komen
yang mempamerkan kononnya penglibatan ahli kerabat diraja Selangor dalam
kempen pilihan raya berkenaan.
Muhamad Munir berkata baginda sultan turut menegaskan bahawa pihak
istana akan kekal sebagai satu institusi bebas yang tidak condong kepada
mana-mana parti politik dan hanya berlandaskan kepada peruntukan
undang-undang serta kuasa yang termaktub di bawah Undang-undang Tubuh
Kerajaan Selangor 1959 dan undang-undang yang berkaitan.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 11 Mac untuk penamaan calon dan pengundian pada 23 Mac bagi pilihan raya kecil itu.
Kerusi DUN Kajang kosong selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada
PKR meletak jawatan pada 27 Januari lepas. – Bernama, 18, Februari,
2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment