Pelakon
Lim Chin Miau disoal siasat hampir dua jam oleh polis hari ini
berhubung lakonan beliau dalam video klip kontroversi Sambutan Tahun
Baru Cina Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
"Mereka mahu mengesahkan beberapa perkara dalam video klip tersebut ini
termasuk lakonan parodi seorang isteri pemimpin bagaimanapun tidak
disebut nama tersebut," kata peguam Lim, Aaron Lee kepada pemberita di
Kuala Lumpur.
Dalam klip video satira politik Tahun Baru Cina bertajuk "Onederful
Malaysia CNY 2014", Kok berlakon sebagai pengacara feng shui program
bual bicara dengan membabitkan adegan lawak apabila ditanya oleh tiga
panel mengenai pelbagai isu termasuk sistem pendidikan, kenaikan kos
sara hidup dan keselamatan di Sabah.
Lim dan dua lagi pelakon berada di Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur bagi
membantu siasatan keatas Kok susulan daripada laporan polis yang dibuat.
Bagaimanapun setakat ini polis masih belum menghubungi Kok untuk disoal siasat.
Video tersebut dikritik oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
dan pemimpin Barisan Nasional dengan hampir 300 laporan polis dibuat
terhadap Kok kerana menghina Melayu, Raja dan Islam.
Beberapa individu termasuk Lim, dipanggil untuk merekodkan kenyataan berhubung laporan polis yang dibuat Kok.
Pelakon berusia 32 tahun itu ditemani oleh peguam dan rakannya
menyatakan perasaan lega setelah memberi kenyataan sebagai saksi di
bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah hari ini.
"Saya boleh tidur dengan lena sekarang," katanya.
Peguam Lim berkata soalan yang ditanya oleh polis adalah kandungan membabitkan video klip tersebut.
"Polis menunjukkan klip itu kepada Lim, tetapi tidak meminta
terjemahan, mereka hanya mahu Lim untuk melihat klip itu semula bersama
mereka," katanya.
Beliau berkata, Lim ditanya hampir 30 soalan di mana ia merupakan soal
siasat yang sama terhadap dua lagi individu pada pagi tadi.
"Dua lagi yang berlakon bersama Lim memberi kenyataan pada pagi ini," kata Lee.
Minggu lalu sebuah kumpulan menggelarkan diri mereka Majlis Jemaah NGO
Islam mengadakan protes di hadapan Menara Maybank di Kuala Lumpur
sebagai bantahan ke atas video Kok.
Antara lain penunjuk perasaan itu turut menyembelih dua ekor ayam dan
menawarkan RM1,200 kepada sesiapa yang berani menampar Kok sebagai
reaksi kemarahan terhadap pemimpin DAP itu yang dikatakan menghina
Melayu dan Islam.
Mereka juga turut mencalitkan darah ayam tersebut keatas sepanduk
tertera gambar Kok, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Penasihat
DAP Lim Kit Siang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Machang Bubuk Lee Khai
Loon.
Biarpun Kok membuat laporan polis berhubung tindakan kumpulan tersebut,
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan
tawaran tampar bukanlah satu ancaman.
Ekoran kenyataannya itu, beliau dikritik hebat oleh pemimpin pembangkang termasuk Majlis Peguam Malaysia. – 11 Februari, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment