Thursday, February 27, 2014

Waytha Moorthy gesa MIC tinggalkan BN jika ikhlas perjuang kaum India

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
February 26, 2014
MIC mesti meninggalkan Barisan Nasional (BN) bagi membuktikan keikhlasannya terhadap kaum India setelah parti gabungan itu gagal menjaga kepentingan kaum tersebut, kata pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy (gambar).

Waytha Moorthy mengingatkan MIC bahawa pemimpin terdahulu parti seperti John Thivy, Budh Singh, Devasar dan Ramanathan akan berasa bangga kepimpinan MIC sedia ada mengambil langkah sedemikian.
"Ini kerana perjuangan awal MIC adalah untuk melindungi hak kaum India yang kebanyakannya pada waktu itu adalah pekerja ladang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 Waytha Moorthy meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri dan jawatan senator dua minggu lalu atas kekesalannya terhadap pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau berkata, Najib gagal melaksanakan perjanjian bagi melindungi kaum India sebagaimana yang ditandatangani BN dan Hindraf sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Katanya, dakwaan BN yang menyalurkan RM500,000 kepada kaum India sejak lima tahun lalu adalah tidak benar.
Waytha Moorthy berkata Hindraf melihat kementerian yang sedia ada gagal membantu kaum India, akibat sistem yang tidak berpihak kepada minoriti.
“Kementerian Pendidikan gagal mengagihkan biasiswa, kuota ke matrikulasi dan universiti dengan adil sementara kementerian yang bertanggungjawab bagi soal kebajikan memberi sebab remeh menolak permohonan bantuan kaum India miskin.

“Kementerian Kesihatan dan Majlis Perubatan Malaysia juga dengan sengaja tidak mengiktiraf Universiti Perubatan Crimea State yang merupakan kolej perubatan yang mampu dibiayai oleh pelajar India miskin menyebabkan ramai yang memiliki ijazah perubatan di Malaysia,” katanya.
Waytha Moorthy berkata kementerian yang bertanggungjawab dalam soal pertanian, perumahan dan sumber manusia juga gagal menyediakan peluang alternatif dalam peluang latihan pekerjaan, tanah dan rumah serta pampasan yang memadai kepada 800,000 peladang 1970an.

“Ini menyebabkan jenayah bandar di kalangan masyarakat India meningkat. Pencabulan hak asasi terus berlaku tetapi MIC masih gagal memainkan peranannya.
“Apa yang perlu dilakukan adalah perubahan segera kepada komuniti dan bertindak sebagai propaganda berhubung isu berkaitan masyarakat India,” katanya. – 26 Februari, 2014. The Malaysian Insider

1 comment:

  1. ulaq kapla 2 dah mula meroyan..aku takut pakatan dok ambik balik lanie pon dah nampak ramai blogger jadi pencinta ulaq kapla2

    ReplyDelete