Datuk
Seri Anwar Ibrahim (gambar) hari ini mengumumkan beliau tidak menentang
perjanjian persefahaman (MoU) di antara kerajaan persekutuan Barisan
Nasional (BN) dan kerajaan negeri Selangor berhubung perjanjian konsesi
air tetapi perlu menyemak secara terperinci perjanjian itu.
Ketua pembangkang itu berkata soal untuk meminda atau pun tidak
kandungan MoU itu sekiranya beliau menjadi menteri besar Selangor
bergantung sepenuhnya kepada kepentingan rakyat.
"Saya terlibat di peringkat awal rundingan dan saya bersetuju rundingan perjanjian dengan kerajaan persekutuan.
"Selagi saya belum baca MoU, ruang untuk saya komen terbatas. Ada
perjanjian mutlak dan ada yang boleh dikaji semula," katanya dalam satu
majlis Dialog Anak Muda di Seremban, Negeri Sembilan hari ini.
Kerajaan negeri Selangor menandatangani perjanjian MoU dengan
Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air berhubung pemilikan konsesi
air di Selangor pada Khamis.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Perdana Menteri,
Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menyaksikan upacara menandatangani MoU
berkenaan antara Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan
Datuk Seri Maximus Ongkili di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. – 2
Mac, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment