Taksub
dengan semua A dalam mata pelajaran menyebabkan sistem pendidikan di
Malaysia terus jatuh walaupun menerima peruntukan kewangan besar setiap
tahun. Gambar fail The Malaysian Insider. Kerap berubah
polisi dan taksub dengan semua A dalam mata pelajaran merupakan punca
mengapa sistem sekolah di Malaysia terus merudum meskipun berbilion
ringgit dibelanjakan setiap tahun.
Guru, aktivis dan bekas pegawai Kementerian Pendidikan yang ditemubual
mendakwa meskipun mempunyai polisi jelas seperti Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia (PPPM) akan menjadi tidak berguna jika tidak
dilaksanakan dengan betul.
Seorang aktivis berkata, bagi mengatasi masalah itu, kerajaan perlu
mengambil inisiatif sendiri seperti yang diguna pakai program Yayasan
Amir iaitu memberikan sekolah lebih autonomi adalah kaedah terbaik
mendidik pelajar.
Ulasan tersebut dikemukakan selepas Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia,
Frederico Gil Sander, berkata kualiti pendidikan Malaysia lebih
membimbangkan daripada kadar hutang isi rumah negara.
Gil Sander mengulas tentang bagaimana tahap pelajar sekolah menengah di
Malaysia lebih rendah daripada negara lebih miskin seperti Vietnam
dalam program penilaian antarabangsa, Pisa.
Bekas pegawai kanan Jabatan Pendidikan Johor, Ramlan Samiran, berkata
guru dan pegawai kecewa apabila kerja dan masa yang mereka laburkan
untuk menggubal polisi baru dipersiakan apabila kementerian mengubah
polisi setiap beberapa tahun.
Katanya, contoh yang paling hampir adalah perubahan daripada Pelan
Pembangunan Pendidikan (PIPP) kepada PPPM yang bermula pada 2010.
Selari dengan pemansuhan itu adalah Pengajaran dan Pembelajaran Sains
dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang dihentikan pada 2012,
selepas 10 tahun ia diperkenalkan.
“Ramai guru sukakan PIPP kerana ia menekankan pembangunan modal insan,” katanya.
PIPP dirangka semasa zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi perdana
menteri dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai menteri pendidikan.
“Setelah melihat pelaksanaan penuh dan hasilnya, kita secara tiba-tiba
beralih ke PPPM,” kata Ramlan berhubung pelan yang diinisiatifkan oleh
Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perubahan paradigma terbesar dalam PPPM adalah Pentaksiran Berasaskan
Sekolah (PBS) yang memerlukan guru mengukur pemahaman pelajar
berdasarkan pengajaran harian.
PBS tidak terlalu memfokuskan kepada gred tetapi pemahaman pelajar dan
kebolehan mereka mengaplikasikannya. Ini berbeza dengan budaya
pendidikan sebelumnya yang mengamalkan ujian bulanan dan peperiksaan
dengan objektif mengumpul A sebanyak mungkin.
Pelaksanaan PBS yang lemah mendapat kritikan guru setelah mereka
dibebankan dengan lebih banyak kerja pengkeranian. Minggu lalu, kerajaan
memperkenalkan PBS baru yang mengurangkan kerja ‘pengkeranian’ guru.
Kumpulan pendesak guru, Suara Guru Masyarakat Malaysia (SGMM) mengakui
PBS polisi yang baik bagi memastikan pelajar memahami dan boleh
mengaplikasikan apa yang mereka pelajari di dalam kelas kepada kehidupan
harian.
Namun, masalah timbul apabila guru dan pentadbir sekolah dipaksa
memenuhi kehendak Jabatan Pendidikan yang taksub dengan markah sekolah
lebih tinggi, kata jurucakap SGMM, Mohd Nor Izzat Mohd Johari.
“Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)
menggesa guru di bawah mereka supaya pelajar mendapat lebih banyak A.
Mereka mahu kami menjangkau KPI tersebut.
“Namun sistem PBS tidak direka untuk itu,” kata Izzat yang juga guru di sebuah sekolah menengah di Pahang.
Manakala kumpulan pendesak guru-ibu bapa (Page) berkata, kerajaan boleh
mengguna pakai sistem program sekolahnya yang mencapai keputusan luar
biasa memotivasikan guru dan pelajar.
Program yang kini melibatkan 10 sekolah di seluruh negara itu dikelolakan oleh Yayasan Amir dan JPN.
Berdasarkan laman sesawang Yayasan Amir, pengetua sekolah memantau
operasi setiap hari manakala Yayasan Amir menyalurkan kepakaran dan
pengalaman dalam operasi, pengurusan, pendidikan dan dana tambahan
apabila diperlukan.
Setiausaha Kehormat Page, Tunku Munawirah Putra, berkata sekolah diberi
lebih kuasa bagi mengaji pengetua lebih baik dan menghias persekitaran
kelas bagi memotivasikan guru dan pelajar.
Katanya, sebagai contoh, guru diberi bilik darjah yang dihias poster dan kelengkapan bersesuaian dengan mata pelajaran.
Ia tidak seperti sekolah kebangsaan biasa yang meletakkan murid dalam
satu kelas dan guru beralih dari satu kelas ke kelas lain.
“Jadi pelajar mendapat tempat dalam persekitaran kelas yang sesuai dengan mata pelajaran seperti sains dan sejarah.
“Inovasi lain ialah menampal hasil kerja pelajar di dinding bilik darjah dan menukarkannya dengan kerap.
“Dengan cara ini, pelajar rasa dihargai kerana rakan-rakan melihat hasil kerja mereka,” katanya.
Beliau berkata, kejayaan program itu menunjukkan sistem sekolah perlu dipisahkan daripada pusat.
Itu antara yang ditekankan Gil Sander mengenai kaedah meningkatkan kualiti sekolah di Malaysia. – 27 Mac, 2014. TMI
bahasa inggeris dapat "A" ... "leopard" di bunyikan "li-o-pad", "iron" dibunyikan "e-ron"
ReplyDeletesains dapat "A" juga ... cuba tanya bagaimana nak buat oksijan dalam makmal....?