Friday, March 21, 2014

Hutang isi rumah tinggi sukarkan kumpulan pendapatan rendah beli rumah, kata DAP

OLEH MD IZWAN March 21, 2014
DAP menyifatkan hutang isi rumah yang tinggi menyukarkan kumpulan berpendapatan rendah untuk membeli rumah.

Laporan Tahunan Bank Negara 2013 menunjukkan  hutang isi rumah di Malaysia meningkat daripada 81.1% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2012 kepada 86.8% pada 2013, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (gambar).

"Laporan terkini mendedahkan Bank Negara terlepas pandang dan tidak peduli akan masalah yang dihadapi rakyat, iaitu menjadi negara kedua memiliki hutang isi rumah tertinggi di Asia," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.
Jumlah pinjaman bagi kumpulan berpendapatan RM3,000 ke bawah adalah sebanyak RM230.7 bilion daripada jumlah keseluruhan pinjaman isi rumah, atau 27% daripada RM854.3 bilion pada 2013.

"Ini bukti bahawa pendapatan kumpulan berpendapatan rendah gagal menyaingi inflasi hingga menyebabkan ramai meminjam untuk mengekalkan taraf hidup mereka," kata Lim, yang juga ketua menteri Pulau Pinang itu.
Situasi ini menurut Lim menunjukkan inflasi naik lebih laju daripada kenaikan gaji, selain jumlah pinjaman pada 2013 adalah tujuh kali lebih tinggi daripada pendapatan tahunan.
"Ia pasti sukar ataupun mustahil kumpulan berpendapatan rendah mendapatkan kelulusan pinjaman rumah daripada bank atau institusi kewangan," katanya.

Lim menggesa supaya Bank Negara memperkenalkan dua skim bagi membantu kumpulan ini membeli rumah.
Dua skim tersebut ialah Skim Berfaedah Pemaju (DIBS) dan Skim Milikan Bersama (SOS).
"DIBS akan membantu pembeli rumah pertama untuk memiliki rumah sendiri kerana terdapat banyak aduan pinjaman rumah tidak diluluskan berpunca ketidakmampuan membayar semula.

"Di bawah SOS, hartanah akan dikongsi bersama kerajaan memandangkan kerajaan memberikan pinjaman sejumlah 30% daripada harga hartanah kepada kumpulan berpendapatan rendah yang tidak dikenakan faedah," katanya.
Lim menggesa demi demokrasi perumahan agar Bank Negara segera memperkenalkan skim ini bagi membantu mereka membeli rumah. – 21 Mac, 2014.The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment