Monday, March 10, 2014

Kehilangan MH370 dedah kelemahan sistem keselamatan udara global, kata akhbar

March 10, 2014
Tiada teori awal yang boleh menjelaskan apa yang berlaku kepada kapal yang terbang di ketinggian 35,000 kaki dalam cuaca baik pada Sabtu lalu. - Gambar The Malaysian Insider, 10 Mac, 2014. 
Tiada teori awal yang boleh menjelaskan apa yang berlaku kepada kapal yang terbang di ketinggian 35,000 kaki dalam cuaca baik pada Sabtu lalu. - Gambar The Malaysian Insider, 10 Mac, 2014.Kehilangan pesawat MH370 di kawasan sibuk Asia Tenggara mendedahkan kelemahan dalam sistem keselamatan udara antarabangsa, daripada pengguna pasport yang dicuri sehinggalah kotak hitam yang ketinggalan zaman, lapor The Wall Street Journal hari ini.

Laporan itu berkata, ketika usaha mencari apa berlaku kepada kapal B777-200ER berterusan di perairan Vietnam, pihak keselamatan udara dan berkuasa berkaitan kebingungan dengan apa yang harus mereka siasat.
Kapal terbang penumpang yang membawa 239 penumpang itu melalui Teluk Thailand ketika tiba-tiba terputus hubungan dengan menara kawalan, tidak sampai satu jam selepas berlepas dari Kuala Lumpur pagi Sabtu lalu. Tiada sebarang isyarat kecemasan dihantar oleh kapal terbang yang menuju Beijing itu.

 Dalam siasatan antarabangsa secara besar-besaran itu, tidak ada teori awal yang boleh menjelaskan apa yang berlaku kepada kapal yang terbang di ketinggian 35,000 kaki dalam cuaca baik itu.
"Buat masa sekarang, tidak ada apa yang boleh diterangkan," kata pengarah keselamatan dan insurans di Ascend Worldwide, Paul Hayes, sebuah firma penasihat British dan firma data penerbangan. 

"Tidak ada teori utama," katanya, tetapi pakar penerbangan berkata, "tidak boleh hilang begitu saja" atau jatuh dari udara tanpa sebarang amaran, kecuali disabotaj atau kegagalan struktur yang mendadak.
Sehingga kini, penyiasat tidak dapat memberikan sebarang punca untuk kesemua itu, lapor media itu.
Kapal terbang pencari dan menyelamat Vietnam menjumpai kemungkin serpihan pesawat itu petang Ahad semalam kira-kira 100 batu ke barat dari laluan kapal terbang itu, dan pegawai berkata, pencarian akan bersambung hari ini.

Serpihan itu dipercayai bahagian dalam pintu atau ekor kapal terbang itu, kata kementerian penerangan dan komunikasi Vietnam.
Sepanjang hujung minggu, keluarga dan rakan-rakan mangsa berkumpul di hotel berhampiran dengan lapangan terbang di Kuala Lumpur dan Beijing untuk mendapatkan maklumat tentang pesawat itu.

Oleh kerana ia jatuh pada hari Ahad, semakin ramai keluarga yang berkumpul kecewa kerana kurangnya maklumat baru.
"Kami bersedia menerima yang terburuk," kata Che Yutian, keluarga kepada penumpang China yang berumur 24 tahun. "Kami hanya mahu tahu apa berlaku. Kami perlukan jawapan."
Tetapi kehilangan pesawat ini mendedahkan kelemahan kepada keselamatan udara antarabangsa.

Biasanya, transmisi elektronik boleh membantu penyiasat dan pengawal udara untuk mengesan ketinggian pesawat, hala tujunya dan kelajuan. Tetapi apa yang dinamakan transponders di atas Boeing 777 tidak melaporkan apa-apa, sehinggalah ia berhenti berfungsi.
Jet besar juga biasanya membawa pemancar kecemasan yang kukuh untuk mengenal pasti lokasi pesawat sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini, jadi pasukan penyelamat boleh pergi dengan cepat ke kawasan itu. 

Alat-alat ini, yang direka untuk diaktifkan oleh kesan di atas tanah atau air, tidak menghantar apa-apa isyarat yang boleh dikesan oleh pencari, pengawal selia penerbangan Malaysia berkata pada hujung minggu.
"Tidak pernah saya melihat pesawat kehilangan kawalan dan kehilangan semua komunikasi pada masa yang sama," kata Mark Martin perunding penerbangan Martin Consulting.
Malah dalam kemalangan Air France di Lautan Atlantik pada  2009, penanda kecemasan menunjukkan arah ke kawasan kejadian, walaupun arus yang kuat menyebarkan serpihan ke kawasan lebih luas.

Bacaan radar tentera Malaysia menunjukkan pesawat mungkin berpatah balik, kata ketua tentera udara negara pada Ahad, dan penyiasat memeriksa sama ada pesawat itu cuba berbuat demikian selepas menghadapi masalah.
Dengan latar belakang yang tidak menentu ini, pegawai “counterterrorism” Amerika juga bingung dan teragak-agak untuk mengatakan adanya penglibatan aktiviti keganasan. Tetapi mereka juga tidak menolak kemungkinan itu.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pegawai-pegawai AS mengesan kemungkinan berlakunya plot pengganas, seperti melibatkan bom ubat gigi.

"Itulah sebabnya kita begitu mengambil berat," kata seorang pegawai kanan Amerika Syarikat.
"Kami mengesan beberapa syarikat penerbangan."
Namun pegawai itu pantas mengatakan tidak  ada bukti keganasan terlibat dalam kes Malaysia pada malam Ahad lalu.
Pengerusi Dewan Jawatankuasa Perisikan, Rep Mike Rogers (Republican, Mich) berkata kepada ABC dalam rancangan “This Week with George Stephanopoulos” bahawa tentera AS tidak mengesan apa-apa jenis letupan di udara. – 10 Mac 2014. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment