Monday, March 10, 2014

NGO persoal perbicaraan Anwar 'meragukan'

Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) mempersoal proses perbicaraan dan keputusan mahkamah berhubung kes liwat II melibat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa terdapat unsur yang menimbulkan keraguaan.
Mengikuti rapat perkembangan kes itu, Presiden IKRAM Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad berkata antara perkara meragukan itu ialah tarikh perbicaraan diawalkan hampir dengan tarikh penamaan calon di pilihan raya kecil DUN Kajang.

Malah, dalam kenyataannya juga, beliau berkata keputusan sabitan dan hukuman diumumkan terus pada akhir perbicaraan 7 Mac lalu yang dianggap tergesa-gesa dan penghakiman bertukar amat jarang berlaku.

"Penolakan permohonan mitigasi hukuman yang dipohon untuk dilanjutkan ke tarikh lain bagi membolehkan pihak pembelaan menyediakan dokumen sokongan untuk mitigasi hukuman.

"Lazimnya mahkamah memberi tempoh yang munasabah kepada peguam tertuduh dalam menyediakan hujah mitigasi.

"Atas sebab itu, IKRAM boleh memahami mengapa masyarakat mempersoalkan kewibawaan mahkamah dalam mengendali dan memutuskan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Oleh itu, kata Mohd Parid, keputusan Anwar mengemukakan rayuan ke Mahkamah Persekutuan merupakan suatu hak yang diperuntukkan undang-undang.

Bagaimanapun, hak itu tidak bermakna sekiranya persoalan tersebut tidak dapat ditangani secara profesional dan berintegriti, tambah Mohd Parid.

Sehubungan, Parid berkata NGO itu berharap sistem kehakiman perlu bebas dan dilihat bebas daripada sebarang campur tangan politik atau desakan pihak eksekutif demi memulihkan kepercayaan rakyat.
Malaysiakini March 10 2014

No comments:

Post a Comment