Monday, March 3, 2014

Kelantan-Selangor laksana 7 projek usahasama



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan dan Selangor semalam mencapai persetujuan  untuk melaksanakan tujuh projek usahasama bagi manfaat ekonomi kedua-dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat.
Sehubungan itu satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani kedua belah pihak bertempat di kediaman rasmi Menteri Besar Kelantan di JKR10, dekat sini, semalam.

Daripada tujuh projek yang dirangka, empat bakal dilaksanakan Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) membabitkan pusat halal hub bertaraf antarabangsa, pendidikan, rawatan air dan sistem horas.
Tiga lagi projek pula bakal dikendalikan Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) bagi mengembangkan Ar Rahn (sistem gadaian Islam) di Selangor, pembangunan wifi dan jalur lebar di Selangor dan mewujudkan pusat pengumpulan pemasaran bagi produk makanan halal keluaran usahawan Kelantan dan Selangor.

MoU ditandatangani Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakub dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan disaksikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Kelantan dan Selangor.
Ustaz Ahmad, ketika berucap berharap MoU yang ditandatangani akan dilaksanakan secepat mungkin dan menjadi rahmat kepada kedua-dua belah pihak.

"(Sebagai contoh) masalah kapsul yang selama ini diragui status halalnya diharap dapat diatasi dengan terbinanya pusat hab halal," ujarnya.
Abdul Khalid pula berkata, proses pemantauan akan dilakukan setiap tiga bulan oleh pegawai khas yang dilantik untuk memastikan keberhasilan MoU yang ditandatangani.
Menurut beliau, Selangor juga mencontohi Kelantan dalam menubuhkan sekolah sains tahfiz yang mampu mendidik masyarakat kepada ajaran Islam yang murni.


Abdul Khalid dan Ustaz Ahmad dalam sidang media selepas majlis menandatangani MoU.

No comments:

Post a Comment