Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
(gambar) hari ini menyifatkan kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi
Ramli yang mendakwa perjanjian persefahaman (MoU) penstrukturan semua
air Selangor boleh mencecah sehingga RM20 bilion sebagai hanyalah satu
andaian.
Menteri besar Selangor itu berkata, bagi mengelak lebih banyak andaian
dibuat berhubung MoU berkenaan, beberapa sesi penerangan terbuka akan
dibuat bagi memberi pencerahan berhubung perjanjian tersebut.
"Saya ingat angka ini berdasarkan andaian yang dibuat. Oleh sebab itu
kita akan membuat beberapa penerangan terbuka tentang perkara ini.
"Angka itu tidak sama dengan angka yang kita buat bersama Suruhanjaya
Pengurusan Air Negara maka saya rasa tidak perlu komen sekarang kerana
selepas MoU akan timbul perjanjian antara dua belah pihak," katanya
dalam satu sidang media selepas merasmikan bilik gerakan PKR di Kajang
hari ini.
Rafizi hari ini membayangkan penstrukturan air di Selangor dengan
kerjasama Putrajaya boleh mencecah RM20 bilion, bukan seperti anggaran
awal RM9.65 bilion.
Beliau yang sudah melihat kandungan MoU tersebut mendakwa penstrukturan
air juga melibatkan pembinaan loji rawatan Langat 2, bukan semata-mata
pengambilalihan empat syarikat konsesi.
Katanya, MoU tersebut juga tidak terikat secara sah di sisi
undang-undang, melainkan bersabit kelulusan Projek Langat 2 yang
serta-merta diberikan kelulusan merancang (DO) selepas MoU tersebut
dimeterai.
Dengan kelulusan pembinaan Langat 2, Rafizi berkata kerajaan negeri
Selangor kehilangan satu-satunya senjata yang dimiliki untuk berdepan
dengan kerajaan pusat dalam isu air.
Khalid berkata bagi membolehkan kandungan perjanjian itu boleh diakses
rakyat, satu pertemuan bersama kerajaan persekutuan akan diadakan esok.
Katanya, akta kebebasan maklumat yang ditandatangani bersama Putrajaya
akan membuka peluang ke arah itu selain tarif airnya juga dapat
diketahui.
"Kita akan meminta kerajaaan persekutuan untuk melepaskan dokumen
tersebut. Esok saya ada perjumpaan dengan kerajaan persekutuan untuk
berbincang pelepasan dokumen tersebut.
"Kita telah menandatangani akta kebebasan maklumat maka kita mahu
dokumen itu boleh dilihat umum. Dokumen itu mengandungi semua tarif air.
Sebab utama kita mahu penstrukturan semula air adalah kerana mahu
membatalkan kenaikan tarif air Syabas,” katanya.
Dalam sidang media hari ini, Rafizi mendesak Khalid supaya menjelaskan
semua persoalan yang timbul daripada MoU yang ditandatanganinya,
termasuklah menerangkan bagaimana keempat-empat syarikat konsesi
tersebut secara tiba-tiba menerima tawaran pengambilalihan "sedangkan
mereka menentang selama ini".
Minggu lalu, Khalid menandatangani MoU berkenaan bagi membolehkan
kerajaan negeri mengambil alih empat syarikat konsesi air di negeri
berkenaan dengan suntikan dana RM2 bilion oleh Putrajaya bagi
pengambilalihan saham syarikat konsesi.
Menurut MoU tersebut, kerajaan Selangor akan membenarkan Putrajaya
meneruskan Loji Rawatan Air Langat 2, manakala ia juga akan memberikan
pampasan bernilai RM9.65 bilion kepada empat syarikat konsesi air di
Selangor.
Satu konsortium air untuk menguruskan industri air di Selangor akan dibentuk di bawah seliaan Kumpulan Darul Ehsan Berhad.
Kerajaan negeri Selangor menjangkakan pengambilalihan syarikat konsesi
tersebut akan selesai dalam tempoh tiga bulan. – 3 Mac, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment