Sunday, March 23, 2014

Laporan Terkini!! dari Kajang.

23 Mac 2014


  Walaupun tempoh rasmi kempen hanya 12 hari, dengan kedua pihak yang bertanding telahpun memulakan kempen 'tidak rasmi' mereka sebaik kerusi DUN Kajang dikosongkan 27 Januari lalu; ini mungkin kempen PRK paling lama dalam sejarah.

Seramai 38,055 pengundi bakal mengundi hari ini setelah 1,197 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka Rabu lalu.

Fokus PRK yang dipanggil 'langkah Kajang' ini dikatakan Pakatan Rakyat sebagai referendum menentang ketidakadilan, kepincangan sistem kehakiman dan gerakan pelampau agama.

Perkara itu akan tergambar daripada keputusan hari ini. Soalnya, adakah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mampu menambah majoriti hampir 7000 undi pada 2013 atau sebaliknya.

Calon BN Chew Mei Fun pula dilihat mahu memperbaiki sokongan kaum Cina yang hanya di takat 40 peratus pada pilihan raya umum lalu, sekali gus membuktikan partinya MCA masih relevan.

Pengiraan undi dari 18 daerah mengindi Kajang akan dilakukan di Stadium Majlis Perbandaran Kajang dengan keputusan dijangka diketahui secara berperingkat tidak lama selepas pengundian ditutup jam 5 petang ini.

Apa pilihan penduduk Kajang?

LAPORAN LANGSUNG

12pm: Seramai 15,529 (40.81 peratus) keluar mengundi setakat tengahari.

11.30am SK Kantan Permai - seorang pengundi yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa.

"Saya membesar dengan Pakatan. Saya mahu Pakatan Rakyat menang. Mahasiswa juga banyak menggerak massa. Saya dengar ada undi kesian daripada atas pagar, dia kata undi Kak Wan," katanya.

11.16am Kajang - Satu kumpulan penyokong BN bermotosikal diketuai pemimpin Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah membunyikan enjin jentera merea ketika melalui beberapa pusat pengundian.

Mereka memulas pendikit minyak untuk membuatkan enjin motosikal menderu kuat sehingga menenggelamkan laungan penyokongan lawan.

Kumpulan berkenaan berbuat demikian selama kira-kira 10 minit sebelum meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan kelam akibat kepulan asap motosikal.

Sementara itu seramai 20 orang penunggang basikal, termasuk seorang warga emas yang memakai baju dengan tulisan 'Power of Rakyat' dan 'Rakyat Is Not A Fool' turut mengunjungi kawasan-kawasn pengundian untuk menunjukkan sokongan.

Seorang daripadanya berang apabila disorak oleh sorang penyokong BN di SK Convent di Kajang, dan menjerkah kembali: "Hei bodoh!"

Beliau kemudiannya ditenang oleh penyokong PKR yang memberikannya minuman.

11.15am SK Kantan Permai - Penyokong Pakatan Rakyat semakin bertambah.

Beberapa orang penyokong PKR dilihat mengejek penyokong lawan dengan membuat aksi 'bomoh teropong'.

Seorang daripadnyaa menggunakan batang paip kecil berwarna hitam sebagai teropong, seorang lagi memegang dua biji kelapa tua dan seorang lagi memegang batang penyapu.

Ia bagi mengajuk upacara perbomohan seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zin di KLIA bagi mencari pesawat MH370.

Kumpulan penyokong Pakatan turut melaungkan ejekan "Kangkung" kepada penyokong BN.

11.00am SK Kantan Permai - Bercakap kepada media, calon PKR Datuk Seri Wan Azizah berkata beliau telah mengunjungi beberapa pusat pengundian dan mendapati sokongan terhadapnya "memberangsangkan".

Bagaimanapun, dari kunjungannya itu, beliau mendakwa ada suasana tegang tercetus khususnya dari penyokong BN.

"Saya berharap pilihan raya berjalan dengan aman," katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Presiden PKR itu berkata: "Saya tidak boleh ramal kemenangan, tapi saya rasa (syukur) Alhamdulillah, sekarang," katanya.

Wan Azizah juga kesal kerana tempat mengundi untuk warga emas di sebuah pusat pengundian - yang pernah dirasmikan oleh Anwar sewaktu menjadi menteri pelajaran - dibuat di tingkat satu.

"Sepatutnya (SPR) merancang supaya (suasana pilihan raya) mesra pengundi, kata Wan Azizah.

Beliau berkata akan meneruskan kunjungannya di pusat pengundiannya yang lain sebelum berhenti rehat dan menyambungnya semula selepas itu.

Dalam sidang media yang sama juga, Anwar berkata beliau yakin PKR akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau juga berharap baki pengundian hari ini berjalan lancar, dan mahu penyokong PKR tidak termakan dengan provokasi lawan.

"Mereka menggunakan istilah lucah, saya minta penyokong tenang, kalau nak kata, 'kangkung' tak mengapa," katanya.

10.27am SK Kantan Permai - Calon PKR Dr Wan Azizah Sampai Wan Ismail sampai di pondok panas PKR yang terletak kira-kira 150 meter daripada pusat mengundi.

Beliau sempat bergambar dengan penyokong yang melaungkan "Reformasi".

Manakala penyokong BN pula melaungkan "Tolak Kak Wan" dan "Tolak PKR" sewaktu Wan Azizah bersalaman dengan penyokong Pakatan dan kenderaan lalu lalang di situ.

Kedengaran juga seorang penyokong Tiong Hua yang bersalaman dengan beliau berkata: "Kita sudah menang".

Wan Azizah menyambutnya dengan senyuman. Beliau kemudiannya terus menuju ke pusat pengundian SK Kantan Permai.

10.15am SK Kantan Permai - Anwar Ibrahim tiba di pondok panas PKR sampai bersalaman penyokong Pakatan yang berada di situ termasuk kenderaan yang berhenti.

Penyokong Pakatan yang berada di situ mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya bersama-sama bekas pesuruhjaya PAS Melaka Abdyl Ghani Abdul Rahman dan Datuk Lajim Ukin.

Bagaimanapun ketua pembangkang itu tidak melalui kawasan yang dipenuhi dengan penyokong BN.

Penyokong BN tidak melaungkan apa-apa sewaktu kehadiran Anwar kerana tenggelam dengan laungan penyokong PKR yang melaungkan "Tolak BN" dan "Reformasi".

10.15am Sg Kantan - Kesesakan lalu lintas menyebabkan pemimpin politik membonceng motor untuk meninjau kawasan pengundian.

Antara yang dilihat ialah Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan Naib President Umno Datuk Shafie Apdal.

Suasana di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan meriah dengan kedua-dua penyokong dipisahkan sebatang jalan dan berlawan sorak di hadapan lawan masing-masing.

10.10am SK Kantai Permai -Ahli parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim yang bersama-sama penyokong BN amat berharap BN dapat memenangi pilihan raya kecil DUN Kajang.

"Saya lihat (ada kecenderungan) pertambahan (orang keluar) mengundi yang begitu meningkat. Saya yakin kita mencapai kejayaan luar biasa.

"Dalam proses demokrasi, kita menghormati (sama ada menang atau kalah), persaingan tetap ada. Suasana dengan penuh keamanan. Saya harap ia menjadi transformasi pasca PRU-13," katanya.

10.00am Sungai Chua – Seorang lelaki menarik perharian apabila mengandar kangkung di kawasan penyokong Pakatan.

Lelaki 64 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad itu berkata, beliau memandu dari Pahang untuk bersama-sama di Kajang pada hari ini.

“Saya mahu ingatkan pengundi di sini, (Datuk Seri) Najib (Razak)  menyebabkan harga gula naik, tetapi tidak masuk akal bila kata harga kangkung turun.

“Kita sudah tak boleh tahan!” katanya yang melaungkan “kangkung turun tapi harga gula naik” kepada orang ramai.

10.00am SK Kantai Permai - Dipisahkan hanya satu lorong ke Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, penyokong BN dan PKR meraih undi kepada pengundi yang menuju ke pusat pengundian itu.

Penyokong BN yang kelihatan lebih ramai daripada penyokong PKR melaungkan " Hidup BN", "Hancur Anwar", "Tolak Anwar" dan "Tolak Kak Wan" beberapa kali sambil mengibar bendera dan poster Chew Mei Fun.

Manakala penyokong Pakatan hanya melaung reformasi. Pondok panas mereka hampir bertentangan satu sama lain.

Berlaku sedikit kekecohan apabila seorang pemandu kereta - tidak dapat dipastikan penyokong BN atau PKR - telah melanggar belakang sebuah motosikal di hadapan kedua-dua penyokong menyebabkan penyokong BN marah.

Bagaimanapun, kekecohan itu dapat ditenangkan oleh anggota polis.

9.55am Kajang - Polis minta pekerja parti, kecuali yang membantu warga emas, beralih daripada pusat pengundian di SK Convent Kajang.

Perayu undi MCA dilihat merekodkan jumlah pengundi yang tiba mengikut bangsa. Mereka juga dilihat mendekati pengundi Cina dengan berkata "Chew Mei Fun" dan "hua ren".

Ditanya sama ada dibenarkan berbuat demikian, dia menjawab: “Siapa kamu? Wartawan? Saya juga  boleh jadi wartawan. Saya tidak pakai mana-mana logo parti.”

“Kamu tidak cakap bahasa kami jadi kamu tidak tahu apa saya kata. Kamu tak perlu wawancara saya.

“Saya tidak takut, saya tidak sembunyikan apa-apa atau buat salah. Jika saya macam itu polis boleh tangkap,” kata lelaki bergelar “Datuk” itu yang enggan mendedahkan identitinya.

9:30am Sg Kantan - Kehadiran calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyebabkan beberapa pengundi mengambil kesempatan bergambar dengan beliau.

Bagaimanapun beliau hanya menghabiskan kira-kira 10 minit sebelum bergerak ke tempat lain.

Sorakan reformasi tiba-tiba kedengaran ketika Wan Azizah meninggalkan kawasan pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bersama para penyokong beliau.

9.00am SK Sg Kantan - Suasana pilihan raya DUN ini semakin 'panas' apabila semakin ramai penyokong BN membanjiri pusat pengundian ini.

Malah, mereka yang berdiri di kiri dan kanan jalan menyanyikan lagu 'Inilah Barisan kita' beramai-ramai sambil diperhatikan oleh penyokong PKR dan Pakatan.

Suasana lebih meriah, apabila seorang penyokong Puteri Umno mengetuai lebih 200 penyokong BN yang berhimpun di luar pusat mengundi, bersorak" Hidup BN" beberapa kali.

9.00am Taman Mesra - Perlawanan sorak antara kedua belah penyokong berlangsung rancak di hadapan pusat pengundian utama Taman Mesra yang terletak di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Masing-masing saling sindir menyindir.

8.45am SK Sg Kantan - Kira-kira 35 anak muda penyokong BN menunggang motosikal sambil memulas minyak sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengeluar asap sambil mengibarkan bendera sekaligus mengganggu penyokong yang merayu di luar kawasan mengundi.

Salah seorang perayu undi PKR berteriak beberapa kali kepada mereka: "Baguslah, baguslah, buat macam ini."

8.40am Dewan Orang Ramai Sungai Chua - Calon BN, Chew Mei Fun hadir untuk meninjau proses pembuangan undi di sini.

Ditanya sebab beliau memakai baju berwarna merah, dan bukannya baju berwarna biru atau putih yang biasanya dikaitkan sebagai warna BN, Chew menjawab seperti berikut:

"Ini blaus yang saya juga pernah pakai sewaktu berkempen.

"Dan ada juga orang menasihatkan saya agar memakai warna merah hari ini," katanya sambil tersenyum penuh makna.

8.36am SK Sg Kantan - Penyokong BN lebih mendominasi penyokong PKR untuk meraih sokongan pengundi yang masuk ke sekolah ini. Lebih 100 orang penyokong BN mengibar bendera dan payung sambil melaungkan "Hidup BN, Undilah" BN.

Manakala kira-kira 35 penyokong PKR pula memegang poster Wan Azizah dan bendera PKR sambil menunjukkannya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Terdapat juga kenderaan yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada calon BN, menyebabkan penyokong parti bersorak.

8.30am Dewan Orang Ramai Sungai Chua - Penyokong BN dan PKR kelihatan berdiri bersebelahan di tepi jalan masuk ke Dewan Orang Ramai Sungai Chua.

Penyokong BN memakai topi dan vest berlambang BN sementara penyokong PKR memegang poster wajah Datuk Seri Wan Azizah bertulisan 'Dari Kajang ke Putrajaya'.

Turut kelihatan adalah kira-kira 10 orang anggota Unit Tindakan Ringan yang berkawal berhampiran tempat penyokong-penyokong tersebut berdiri.

Pada masa sama, aliran keluar masuk pengundi ke Dewan Orang Ramai untuk membuang undi kelihatan berjalan lancar tanpa masalah.

8.20am Sungai Chua – Chew memulakan harinya di Persatuan  Jing Miao Buddhist sebelum melawat beberapa pusat pengundian. Beliau dijadual melawat  SRJK (C) Sungai Chua pada-pada jam 9 pagi.

8.18am Kajang Beberapa pengundi dilihat mengalami masalah tersalah pusat pengundian.

“Kamu mengundi di BukitKajang, kawasan sebelah di Bangi,” kata seorang agen pengundian pada pemilih.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menolak dakwaan seorang pengundi yang mendakwa, di Internet, dipindahkan keluar daripada Kajang tanpa persetujuan.

Kajang meliputi kawasan antara Batu 10 Cheras hingga Seksyen 14 Bangi.

8:15am Sungai Sekamat -  Sedikit kekecohan berlaku apabila sekumpulan polis meminta penyokong PKR dan BN tidak berdiri sebelah menyebelah bagi mengelakkan pergaduhan.

Pergeseran itu dikatakan berpunca lantaran kesesakan jalan raya di hadapan  Jalan Sekamat 1 semakin teruk memaksa penyokong kedua belah pihak berhenti jauh di pinggir jalan.

Tindakan campur tangan polis mengawal keadaan dan trafik meredakan keadaan dengan kedua pihak  nampak masih tidak berminat berprovokasi antara satu sama lain.

Sebuah ambulans turut terperangkap dalam kesesakan itu.

8.05am SK Saujana Impian - Keadaan di sini aman, pengundi mula memasuki pusat pengundian. Kira-kira 30 anggota polis mengawal keselamatan dan lalulintas di SK Saujana Impian.

8.00am  Sungai Sekamat - Keadaan jalan agak sesak di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat.

Namun ia bukan kerana pengundi berpusu-pusu membuang undi sebaliknya kerana Pasar pagi yang lazim diadakan di Jalan Sekamat 1 setiap hari Ahad.

Bagaimanapun pusat pembuangan undi ini agak aktif dengan penduduk tempatan mengambil peluang memilih ADUN baru mereka.

7.55am SK Saujana Impian - Kira-kira 25 orang pengundi bagi saluran 1 dan 2 telah memasuki kawasan sekolah dan beratur untuk mengundi.

Sebanyak lima saluran dibuka di pusat mengundi ini.

Tidak kelihatan penyokong daripada kedua-dua parti berhimpun di sekitar kawasan sekolah untuk meraih sokongan pengundi yang hadir.

Seramai 2014 pengundi berdaftar di SK Saujana Impian. mk

No comments:

Post a Comment