Guru dan wakil NGO menandatangani kain rentang membantah PBS di Bangi, bulan lalu. Gambar fail.Selepas
ditolak oleh pihak berkuasa pendidikan Pahang, guru di belakang protes
terhadap sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) merayu kepada Datuk
Seri Najib Razak untuk mengarahkan Kementerian Pendidikan menarik
balik notis pemindahan yang dikeluarkan kepadanya dan dua lagi yang
lain.
Mohd Nor Izzat Johari, ketua kumpulan kerja Suara Guru Masyarakat
Malaysia (SGMM) mendakwa notis pertukaran yang diterimanya adalah
‘hukuman’ yang dikenakan kepadanya kerana mengkritik PBS dan bukan atas
keperluan, seperti didakwa oleh jabatan pendidikan negeri.
“Mereka kata pertukaran dan perpindahan itu berdasarkan kepada
keperluan tetapi kami sudah periksa, ia tidak benar. Ia hanya alasan
standard yang diberikan kepada mana-mana guru apabila mereka dipindahkan
untuk mengelak masalah pada masa depan,” katanya kepada The Malaysian
Insider.
Minggu lalu, Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan
berkata arahan pertukaran Nor Izzat tidak datang daripadanya dan mungkin
membabitkan pentadbiran peringkat daerah.
Muhyiddin berkata, beliau tidak tahu jika keputusan itu dibuat kerana
guru terbabit meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sistem
berkenaan atau faktor lain.
Dalam surat rayuannya kepada perdana menteri bertarikh semalam, Nor
Izzat berkata, perpndahan itu dilakukan kerana beliau secara umum
membantah PBS.
“Saya tidak ragu-ragu mengenai perkara itu,” katanya.
Beliau berkata, mereka cuba berjumpa dengan pengarah Jabatan Pendidikan
Pahang untuk membincangkan perpindahan itu tetapi gagal.
“Mereka asyik buat alasan bila kami hubungi mereka. Kami juga cuba
mendapatkan surat sokongan daripada Pejabat Daerah mengenai perpindahan
itu tetapi kami diberitahu mereka tidak mahu ‘masuk campur’ dalam
perkara itu. Kami tidak tahu apa yang sedang berlaku,” katanya.
Beliau berkata, beliau ada bertemu Menteri Pendidikan II, Datuk Seri
Idris Jusoh pada 24 Disember tahun lalu dan menteri berkenaan
meyakinkannya bahawa tiada tindakan diambil terhadapnya atau rakan lain
kerana secara terbuka mengkritik kelemahan PBS.
Nor
Izzat Johari rayu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membatalkan
notis pertukaran sekolah yang dikenakan terhadapnya. Gambar fail.“Saya
disiasat dan disoal oleh wakil peringkat daerah, negeri dan
persekutuan, dalam lebih lima sesi. Orang terakhir yang perlu saya jumpa
sepatutnya ialah pengarah pendidikan negeri untuk memastikan saya ada
kes. Hanya selepas itu mereka boleh buat keputusan mengenai tindakan
selanjutnya terhadap saya,” katanya.
Nor Izzat berkata, beliau dan dua lagi guru yang terkesan dengan
keadaan itu juga menghantar surat rayuan kepada jabatan dan kementerian.
“Kami sudah merayu dan berharap mereka akan mempertimbangkannya. Saya
akan menggunakan semua saluran untuk kes saya didengar,” katanya.
Katanya, beliau akan terus mengajar di sekolah sama buat masa ini.
Nor Izzat merayu kepada Najib untuk mengambil tindakan terhadap
kemerosotan standard pendidikan dalam negara apabila murid digunakan
sebagai bahan uji kaji dalam sistem yang tidak konsistem kerana polisi
yang kerap berubah.
Pertukaran tiga guru berkenaan dilihat sebagai Putrajaya menekan kakitangan awam yang mempunyai pendapat berbeza.
Susulan daripada protes SGMM bulan lalu, kementerian mengumumkan PBS
ditangguhkan hingga ia disemak dan penambahbaikan dibuat terhadap sistem
itu.
Idris berkata, kementerian bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaannya untuk membolehkan ia diperbaiki.
Menurut laporan awal, guru dan pentadbir sekolah yang mendapati agak
sukar menjejak pencapaian pelajar menerusi pelaksanaan PBS kembali
menggunakan kaedah peperiksaan.
SGMM berkata, keadaan itu menyebabkan kebanyakan sekolah mempunyai dua
sistem iaitu pada luaran ialah PBS yang digunakan untuk memuaskan hati
pegawai di Putrajaya, tetapi sebenarnya sekolah menggunakan sistem
peperiksaan tahunan seperti sebelum ini.
Menggunakan dua sistem, kata SGMM, menyebabkan tekanan dan bebanan kepada guru dan pegawai sekolah. – 5 Mac, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment