Monday, March 3, 2014

Rafizi: Pengguna dipercayai akan tanggung kos air lebih tinggi

  
Pengarah strategi PKR Rafizi Ramli memberi amaran bahawa penstrukturan semula aset air Selangor melalui perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dan persekutuan minggu lalu akan menyebabkan pengguna menanggung kos lebih tinggi.

Katanya, ia akan melibatkan tindakan kerajaan persekutuan mengambil alih aset air di Selangor, termasuk loji rawatan Langat 2, melalui Perbadanan Asest Air Berhad (PAAB) yang akan dibiaya dengan dana awam.

Beliau menjangkakan bahawa perkara ini akan menyebabkan syarikat baru yang akan dilantik selepas penstrukturan tersebut menanggung kos pajakan dari PAAB.

Operator berkenaan seterusnya akan menaikkan tarif air untuk menanggung kos berkenaan, katanya lagi dalam satu sidang media di Petaling Jaya petang ini.

“Kerajaan persekutuan juga akan menanggung kos pembinaan Projek Langat 2 melalui kaedah yang sama dan melibatkan dana awam.

“Maka lebih tinggi kos Projek Langat 2 makin tinggilah hutang negara dan tarif air yang ditanggung rakyat,” katanya lagi.

Rafizi berkata beliau juga bimbang sekiranya kerajaan Selangor menandatangani perjanjian persefahaman yang berat sebelah.

Beliau memberi alasan, kesemua perkara dalam MOU tersebut tidak mengikat, kecuali bahagian yang melibatkan kelulusan serta merta ke atas Projek Langat 2.

Jelasnya, perkara itu sama seperti memberi sokongan penuh kepada Projek Langat 2.

“Ini bermakna, kerajaan Selangor seolah-olah melepaskan satu-satunya senjata yang ada untuk berdepan dengan Kerajaan Persekutuan iaitu Projek Langat 2 tanpa mendapat apa-apa komitmen yang mengikat dari Kerajaan Persekutuan,” katanya lagi.

Rafizi yang mendedahkan MOU berkenaan hari ini  mendakwa ia adalah dokumen tulen yang diperolehi dari setiausaha akhbar menteri besar, Arfaezah Aziz.

Arfaezah bagaimanapun ketika dihubungi Malaysiakini menafikan bahawa beliau telah mengirim MOU tersebut kepada Rafizi.

Rafizi turut memuatkan dokumen berkenaan di blog rafiziramli.com bersama kenyataan medianya. Malaysiakini Mac 03 2014

No comments:

Post a Comment