Tatkala
ahli-ahli politik daripada kerajaan dan pembangkang bersedih dengan
kematian bekas Pengerusi DAP, Karpal Singh, Ahli Parlimen Langkawi,
Datuk Nawawi Ahmad menghina mayat pemimpin veteran pembangkang itu di
laman Facebooknya.
Sambil memuatkan gambar mayat Karpal dan menyiarkan keratan akhbar
penentangan pemimpin itu terhadap hukum hudud, Nawawi mengeluarkan
kenyataan yang memperlekehkan pemimpin itu.
"Siapa nak sambut cabaran Karpal Singh? Sila bagi nama he he," tulis
Nawawi di akaun Facebook ‘Dato Ir Nawawi Ahmad’ merujuk kepada keratan
akhbar bertajuk "Mahu wujudkan negara Islam langkah mayat kami dulu -
Karpal Singh".
Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dalam reaksinya
terhadap sesetengah pihak yang tidak menghormati jenazah Karpal meminta
semua pihak menunjukkan nilai baik Islam dengan menghormati seseorang
yang sudah meninggal dunia.
"Inilah ketinggian akhlak dan budi yang menjadikan Islam itu dihormati.
Kegagalan untuk menampilkan akhlak yang baik inilah yang menimbulkan
prasangka manusia terhadap Islam dan sekali gus mereka membenci
umatnya," katanya dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider.
Selain itu, Nawawi yang juga ahli Umno turut menulis tentang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Karpal Singh.
"Anwar berahim mesti lega bila orang yang arah 'anwar ibrahim harus bertaubat' sudah tiada," tulis Nawawi.
Sementara
itu, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Datuk Zulkifli Noordin
seolah-olah 'lega' dengan kematian pemimpin DAP itu.
Zulkifli berkata, laluan ke arah pelaksanaan hudud Kelantan akan lebih mudah dengan ketiadaan Karpal.
“Dalam keadaan kemelut kerajaan PAS Kelantan mahu melaksanakan hudud
dengan bantuan Umno, Allah matikan Karpal yang menjadi penentang utama
pelaksanaannya!” tulisnya di akaun Twitter @zulkiflinoordin.
“Moga perjuangan untuk melaksanakan hudud di Kelantan berjaya.
"Alhamdulillah dengan kesatuan akidah Umno-PAS dan ketiadaan Karpal, saya percaya laluan makin dipermudahkan!”
Zulkifli yang kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13 di Shah Alam yang
juga pengamal undang-undang bagaimanapun menganggap kematian Karpal
sebagai perginya seorang peguam veteran yang hebat.
“Nama Karpal akan terus tercatat sebagai satu legenda dalam sejarah,” tulisnya.
Mohd Asri yang juga pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) berkata,
umat Islam perlu memikirkan sebab mengapa seseorang bukan Islam menolak
sesuatu berkaitan Islam.
"Jika dia menolak tafsiran Islam yang dibuat oleh pihak tertentu, bukan semestinya dia membenci Islam.
"Saya tidak tahu hakikat YB Karpal Singh, namun atas nama akhlak Islam
yang mulia, saya ucapkan takziah kepada kaum keluarganya," kata Mohd
Asri.
Karpal yang juga ahli Parlimen Bukit Gelugor itu maut dalam satu
kemalangan ngeri di kilometer 301.6, Lebuh Raya Utara-Selatan menghala
utara berhampiran Gua Tempurung, Perak pada kira-kira jam 1.30 pagi ini.
Turut terkorban dalam kemalangan itu ialah pembantu peribadinya,
Michael Cornandez sementara anaknya, Ram Karpal mengalami cedera parah.
Karpal yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke
Pulau Pinang bagi menghadiri satu kes mahkamah meninggal dunia di tempat
kejadian akibat cedera parah. – 17 April, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment