Majoriti
graduan baru yang berpendapatan purata gaji RM2,500 sebulan sedang
bergelut untuk hidup, dedah tinjauan syarikat pencari pekerjaan atas
talian, Jobstreet.
Tinjauan yang dijalankan bulan lepas itu melihat 2,062 graduan baru
daripada pelbagai industri yang disoal tentang pendapatan dan
perbelanjaan mereka.
Jobstreet melaporkan bahawa 77% responden berkata pendapatan mereka
tidak memberi ruang untuk simpanan selepas berbelanja untuk kepentingan
asas, dengan 63% responden mengatakan kepentingan tersebut termasuklah
kereta dan pinjaman pendidikan, yang menjadi komitmen utama mereka.
Disebabkan kenaikan harga minyak, ramai responden mengatakan kos pengangkutan juga termasuk dalam perbelanjaan utama mereka.
Jobstreet melaporkan 63% responden membelanjakan purata RM1,500 gaji mereka untuk kepentingan ini.
Untuk menjimatkan kos, hampir separuh graduan baru yang ditinjau
berkata mereka tinggal di rumah ibu-bapa mereka, 30% menyewa dengan
rakan manakala 20% lagi tinggal bersendirian, lapor Jobstreet.
"87% responden mengaku mereka tiada pendapatan lain selain gaji bulanan mereka.
"Ini sebabnya graduan baru meminta gaji lebih daripada purata dalam temuramah pekerjaan."
Tinjauan tersebut juga mendedahkan 60% responden berkata mereka
menjangkakan gaji RM3,500 untuk pekerjaan pertama mereka manakala 30%
menjangkakan sebanyak RM6,500 untuk gaji permulaan mereka.
Bagaimanapun, 66% majikan memaklumkan Jobstreet mereka hanya bersedia
untuk menawarkan graduan baru gaji permulaan antara RM2,500 dan RM2,800,
bergantung kepada kelayakan mereka.
Oleh itu, Jobstreet mengatakan ia tidak hairan graduan baru sentiasa mencari pekerjaan baru dengan gaji yang lebih tinggi.
"Ini mewujudkan 'turnover' yang tinggi dalam syarikat berpengalaman
yang mengambil graduan baru berkerja, kerana mereka sedang cuba
menampung kos sara hidup yang semakin meningkat," kata Jobstreet.
Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lepas, Putrajaya mengumumkan
beberapa langkah, sebahagian daripada tujuan rasionalisasi subsidi.
Pertamanya harga minyak meningkat, menyebabkan kos barang dan perkhidmatan meningkat.
Kemudian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Putrajaya
akan berhenti memberi subsidi gula, yang meningkatkan lagi harga barang.
Tarif elektrik juga meningkat dan rakyat semakin marah apabila Putrajaya mencadangkan peningkatkan kadar tol.
Pada malam tahun baru, beribu rakyat Malaysia yang marah berkumpul di Kuala Lumpur dan berjalan ke arah Dataran Merdeka.
Mereka menyuarakan kemarahan mereka dengan kos sara hidup yang
meningkat semasa Ketua Audit Negara melaporkan pelbagai pembaziran dan
kebocoran dalam sektor awam. – 14 April, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment