Great
Eastern Life Assurance (Malaysia) Bhd akan membayar RM2 juta kepada 14
waris penumpang pesawat MH370 yang hilang semasa dalam penerbangan, kata
Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Koh Yaw Hui (gambar).
Beliau berkata syarikat itu akan mengetepikan prosedur bagi memproses pembayaran tuntutan.
"Kami memahami situasi mereka, dan oleh itu, akan terus membuat
pembayaran," katanya kepada media di luar acara perasmian Pusat
Kecemerlangan Great Eastern Life baharu di Kuala Lumpur hari ini.
Koh berkata proses pembayaran hanya mengambil masa sehari.
Beliau juga berkata semua pelanggan yang diinsuranskan dengan Great Eastern Life Assurance terdiri daripada rakyat Malaysia.
Penerbangan MH370 Malaysia Airlines yang sedang dalam perjalanan dari
Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, hilang kira-kira 40 minit dalam
perjalanan.
Pesawat itu membawa 239 penumpang dan anak kapal, termasuk 153 warga China, 50 Malaysia dan tujuh Indonesia.
Sementara itu, pusat latihan moden bernilai RM20 juta itu yang meliputi
kawasan seluas 60,000 kaki persegi, mampu menampung keperluan 17,000
anggota agensi itu dari seluruh negara.
Ia boleh mengisi lebih 2,000 perancang hayat pada satu-satu masa untuk sesi latihan dan bengkel.
Great Eastern Life Assurance juga menjalin kerjasama pintar dengan
beberapa pengamal utama industri untuk membangunkan kurikulum latihan
bagi menyokong matlamat mewujudkan tenaga kerja profesional. – Bernama,
15 April, 2014./ TMI
No comments:
Post a Comment