Umat Islam tidak
digalak untuk mengucapkan ucapan "Rest in peace (R.I.P)" kepada
seseorang bukan Islam kerana ianya berunsur keagamaan yang diambil
daripada Kristian, kata Majlis Fatwa Kebangsaan.
Dalam satu kenyataan di laman sesawang mereka; www.e-fatwa.gov.my,
Majlis Fatwa Kebangsaan berkata umat Islam bagaimanapun dibolehkan untuk
menyampaikan rasa simpati dan takziah mereka kepada keluarga penganut
bukan Islam selagi ia tidak memberi implikasi keagamaan.
"Seorang Islam adalah amat tidak digalakkan untuk mengucapkannya kepada seorang bukan Islam.
"Bagaimanapun, Islam tidak menghalang mengucapkan simpati terhadap
keluarga orang bukan Islam yang meninggal dunia dengan ucapan yang tidak
memberi implikasi keagamaan seperti 'Saya bersimpati dengan apa yang
berlaku kepada anda' atau 'kami mengucapkan kesedihan atas kehilangan si
fulan daripada keluarga anda," kata kenyataan itu.
Hari ini, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Singh yang meninggal
dunia akibat kemalangan jalan raya awal pagi tadi menerima banyak ucapan
"RIP" daripada pengguna laman sosial.
Kenderaan Toyota Alphard yang dinaiki Karpal berlanggar dengan sebuah
lori seberat lima tan di Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran Gua
Tempurung di KM306.1 Lebuhraya Utara-Selatan.
Karpal, 73, dan pembantunya Michael Cornelius, yang dalam perjalanan
dari Kuala Lumpur menuju Pulau Pinang, meninggal dunia di tempat
kejadian.
Berhubung ucapan 'Rest in peace', Majlis Fatwa Kebangsaan berkata:"Ia
juga mengandaikan orang bukan Islam itu akan mendapat rahmat Tuhan
sebagaimana doa asal yang disebut dalam bahasa Latin; "May his soul and
the souls of all the departed faithful by God’s mercy rest in peace."
Katanya, perkataan itu adalah satu bentuk ucapan doa yang biasa
diucapkan dalam agama Kristian terutama dalam mazhab Katolik sejak abad
ke-18, dan turut diukir di batu nisan si mati.
"Sedangkan daripada sudut akidah Islam seseorang yang mati dalam
kekufuran tidak akan mendapat keampunan dan rahmat dari Tuhan," katanya.
Kenyataan itu turut berkata, ucapan berkenaan turut bergantung kepada niat seseorang yang memberikan ucapan tersebut.
"Sekiranya ucapan diberikan dengan niat membenarkan kepercayaan sesuatu
agama yang jelas bertentangan dengan Islam, maka ia adalah dilarang.
"Sekiranya ia diucap sekadar penghormatan secara umum, maka ia adalah harus," katanya. – 17 April, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment