Friday, April 18, 2014

Karpal Singh seorang daripada peguam jenayah paling beretika, kata Muhammad Shafee. Bila dah tiada, baru nak puji

April 18, 2014
Peguam kanan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah (gambar) memberi sanjungan kepada mendiang Karpal Singh, yang disifatkannya seorang daripada peguam jenayah paling beretika yang pernah beliau hadir bersama-sama ketika menjadi timbalan pendakwa raya atau peguam mewakili anak guam yang bertentangan.

"Sebagai peguam jenayah sejati, beliau paling beretika dan saya amat gemar apabila kami saling bertikam lidah dalam peranan masing-masing semasa litigasi," kata Muhammad Shafee, yang hadir di Mahkamah Rayuan berhubung prosiding menghina perintah mahkamah melibatkan Penang Adventist Hospital pada Rabu lepas, hari terakhir Karpal di mahkamah.

Beliau berkata sepanjang beberapa tahun lepas, keadaan kesihatan Karpal Singh semakin merosot namun di sebalik beberapa penyakit yang dihidapinya, semangat beliau masih kuat, malah semangat itulah yang menjadikan beliau meneruskan kes yang dikendalikannya.


 "Karpal dalam kehidupan peribadinya adalah seorang yang pendiam. Oleh itu, banyak cerita menarik yang beliau pendamkan saja dan mungkin tidak diketahui ramai. Saya harap ada orang yang dapat menggarapkannya suatu hari nanti," kata Muhammad Shafee, yang bertemu Karpal Singh buat kali pertama di Perpustakaan Umum Pulau Pinang ketika Karpal Singh sedang berpacaran dengan Gurmit Kaur, yang kemudian dikahwininya.


Beliau berkata sebagai ahli politik, Karpal Singh seorang yang berbeza sama sekali; beliau melaksanakan perjuangan politiknya berlandaskan keadilan namun biasalah dalam politik, ada kalanya beliau menjadi agak resah, sifat yang sememangnya lazim bagi kebanyakan ahli politik.
Pada hari terakhir Karpal Singh di mahkamah, Muhammad Shafee berkata beliau memerhati dari jauh, Karpal Singh sedang termenung panjang, nampak seperti fikirannya terganggu.
"Saya menghampirinya, bertanya sama ada beliau ok dan jika beliau tidak sihat, kami boleh memohon penangguhan kes.

"Beliau kata beliau sihat dan boleh teruskan. Beliau mahu meneruskan kes itu seberapa segera yang boleh, seolah-olah beliau perlu pulang ke rumah," kata Muhammad Shafee.
Karpal Singh dan Muhammad Shafee terbabit dalam perdebatan hangat baru-baru ini semasa prosiding rayuan pendakwaan berhubung kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Rayuan. – Bernama, 18 April, 2014. TMI

1 comment:

  1. Karpal dikutuk semasa hidupnya..... tetapi disanjung ramai selepas ketiadaannya.
    Ada peguam dan hakim yg dikutuk semasa hidupnya.... dan turut dikutuk selepas matinya..... alangkah azabnya nanti....

    ReplyDelete