Menteri
Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menggesa
pengguna media sosial menghentikan perbuatan menyebar dan berkongsi
gambar ngeri yang dianggapnya sebagai sikap tidak bertamadun.
Kesal dan sedih dengan perkembangan budaya itu, Ahmad Shabery berkata,
perbuatan tersebut tidak mencerminkan keperibadian yang tinggi selain
tidak beretika.
"Kita seolah-olah dikatakan terlalu lapar kepada kebebasan tetapi tidak
tahu menilai dan menyalahgunakan kebebasan yang ada untuk menunjuk
sikap kurang bertamadun, ini tidak ada dalam ajaran agama Islam serta
agama lain," katanya.
"Saya cukup sedih apabila melihat bagaimana gambar mayat, sesiapa
sahaja yang diedar di media sosial dan sebagainya dijadikan bahan
tontonan," katanya yang ditemui selepas menziarahi Ahli Dewan Undangan
Negeri Paloh, Datuk Norzula Mat Diah di Hospital Raja Permaisuri Bainun.
Norzula dirawat di High Dependency Unit hospital itu selepas cedera
parah dalam kemalangan jalan di Cameron Highlands petang semalam yang
turut meragut nyawa isterinya.
Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata, pengguna media sosial kini
semakin melampaui batas sehingga sudah tidak mampu mengambil kira
sensitiviti keluarga mangsa.
Katanya, orang ramai juga perlu berhenti daripada mengaitkan tragedi dengan politik yang berdasarkan rasa benci dan kemarahan.
"Kita harus menghormati mereka yang sudah pergi dan tiada lagi,
hormatilah perasaan keluarga dan orang yang mereka sayangi, serta tidak
melibatkan perkara begini dengan dalam soal politik dan sebagainya,"
katanya.
Dalam nahas 1.10 pagi di Km 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan itu, Karpal
Singh yang juga bekas pengerusi DAP Kebangsaan dan ahli Parlimen Bukit
Gelugor maut di tempat kejadian. Turut terbunuh pembantu peribadinya,
Michael Cornelius, 39. – Bernama, 18 April, 2014./ TMI
No comments:
Post a Comment