Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail menyifatkan mendiang Karpal Singh meninggalkan
perjuangan untuk diambil alih selepas pemergian tragik dalam kemalangan.
Wan Azizah berkata, negara kehilangan anak Malaysia yang banyak menyumbangkan jasa kepada negara sepanjang hayat hidupnya.
"Beliau seorang yang berani menentang kezaliman dan ketakadilan, memberi nyawa kepada kita.
"Kita kehilangan seorang anak Malaysia yang menyumbang seluruh hidup
akhir hayatnya. Terkilan beliau terpaksa pergi dan meninggalkan buat
kita semua untuk ambil alih perjuangan bersama-sama," kata Wan Azizah
dalam sidang media di kediaman mendiang hari ini.
Karpal sendiri pernah menjadi mangsa kekejaman di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1987 dalam Operasi Lalang yang
melibatkan sejumlah besar tangkapan ahli politik pembangkang ketika itu.
Wan Azizah hadir menziarah dan memberikan penghormatan terakhir kepada
Karpal ditemani Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan,
Elizabeth Wong.
Karpal juga merupakan peguam bagi suami Wan Azizah, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kedua-dua pertuduhan kes liwat.
Lebih menyedihkan, semasa kemalangan yang meragut nyawa Karpal, dokumen dan fail kes Anwar berada di dalam kenderaannya.
"Dalam kereta ada fail kes Anwar di Mahkamah Persekutuan.
"Karpal tidak pernah mengambil satu sen daripada kami," kata Wan Azizah dalam nada sedih.
Wan Azizah menyifatkan mendiang sebagai seorang yang sangat baik hati kepada mereka sekeluarga.
"Beliau sangat baik hati. Beliau boleh menjadi sangat garang tetapi sangat berlembut dengan kami," kata beliau.
Pada 11 Mac lalu, Karpal didapati bersalah di bawah akta terbabit
berikutan ulasannya terhadap tindakan Sultan Perak Sultan Azlan Shah
dalam isu rampasan kuasa kerajaan negeri tersebut pada 2009.
Tidak berpuas hati dengan hukuman terhadap tokoh DAP Karpal Singh di
bawah Akta Hasutan 1948, Jabatan Peguam Negara bertindak memfailkan
rayuan balas supaya hukuman terhadapnya ditambah.
Pada 17 April baru-baru ini, Karpal Singh disahkan maut dalam satu
kemalangan awal pagi yang berlaku di KM 306 Lebuhraya Utara-Selatan
berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak kira-kira jam 1.30 pagi.
Beliau yang berusia 73 tahun, juga merupakan ahli Parlimen Bukit
Gelugor dipercayai dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang
untuk menghadiri satu sebutan semula kes mahkamah sewaktu kemalangan itu
berlaku.
Mendiang bersama rakan yang juga pembantunya, Michael Cornandez dan dua
penumpang lain termasuk anaknya Ram Karpal menaiki jenis kenderaan
Toyota Alphard, dipercayai berlanggar dengan sebuah lori sebelum hilang
kawalan. – 19 April, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment