Friday, April 4, 2014

Kes culik di resort: Ahli Parlimen Sabah bentang usul tergempar

Oleh Eileen Ng April 03, 2014
Ahli Parlimen pembangkang dari Sabah akan membentangkan usul tergempar di Dewan Rakyat petang ini susulan penculikan dua wanita dari China dan Filipina dari sebuah resort di Semporna malam tadi.

Ahli Parlimen Sandakan daripada DAP, Stephen Wong Tien Fatt, berkata langkah ini adalah perlu kerana ia melibatkan kepentingan awam.
"Ini bukan kali pertama kejadian sebegini berlaku. Saya terkejut kerana Esscom gagal menjalankan tugasnya untuk menjaga keselamatan di Sabah khasnya di bahagian timur Sabah," katanya merujuk kepada Zon Keselamatan Timur Laut Sabah (Esscom) yang meliputi kawasan seluas 1,400 km di pantai timur Sabah dari Kudat ke Tawau.

 Ia diwujudkan Mac tahun lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas pencerobohan Lahad Datu oleh militan Sulu sebulan sebelum itu.
Mangsa terakhir ini dikenali sebagai Gao Hua Yun, 29, dari Shanghai, China. Seorang lagi adalah pekerja Filipina yang belum dikenal pasti. Mereka dibawa lari dari Singamata Reef Resort.

Kejadian terbaru ini selepas insiden seumpama berlaku tahun lalu: dua  kes membabitkan nelayan di atas bot mereka pada April dan pada November pula, pelancong Taiwan diculik dari Pulau Pom-Pom.
Stephen berkata, Sabah menerima ramai kunjungan warga asing, dan ini menjelaskan mengapa Esscom tidak berkesan.

Rakan partinya, Jommy Wong Sze Phin (DAP-Sabah) berkata, Sabah amat bergantung kepada industry pelancongan dan kejadian seperti ini sudah tentu memberi kesan kepada pendapatan negeri Borneo itu.
“Secara tidak langsungnya, industry pelancongan negara kita turut diculik akibat kejadian ini,” katanya dan menambah beliau berharap ahli Parlimen BN akan menyokong usul itu.

Beliau juga mempersoalkan waktu maklum balas polis, mengatakan jarak balai polis dengan pusat peranginan itu hanya 10 minit dengan menaiki bot, tetapi pasukan itu mengambil masa lebih sejam untuk tiba di tempat kejadian.

Dalam mempersoalkan kredibiliti Esscom, dua ahli Parlimen itu mahu Pengarah Esscom, Datuk Mohammad Mantek mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dan meletak jawatan kerana kegagalannya mengekalkan keselamatan di Sabah.

“Kami percaya ada kemungkinan lelaki bersenjata itu mungkin pendatang tanpa izin yang dibenarkan tinggal di Sabah selama berdekad lamanya. Sebab itu, kita tidak perasan kehadiran mereka.
“Kemungkinan wujud pembabitan pendatang tanpa izin dalam kes ini perlu dipertimbangkan oleh pihak berkuasa,” kata mereka.
Susulan daripada insiden terbaru itu, mereka mendesak kerajaan mengeluarkan semula kad pengenalan kepada semua rakyat Sabah.

“Kita mahu kerajaan persekutuan bertindak dan melakukan perkara yang betul iaitu memperbaharui semua kad pengenalan kerana ada warga asing memegang MyKad dan agak sukar membezakan antara mereka dengan rakyat tempatan,” kata Jimmy dan menambah laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai pendatang tanpa izin juga perlu dikeluarkan secepat mungkin. – 3 April, 2014. TMI

No comments:

Post a Comment