Sunday, April 27, 2014

Kes lubang benam: Jalan Bkt Bintang ditutup

27 Apr 2014

Laluan Jalan Bukit Bintang (menghala Jalan Tun Razak) antara Chulan Square dan Persimpangan Jalan Tun Razak ditutup hari ini kepada trafik bagi melancarkan kerja membaiki lubang benam.

Mass Rapid Transit Corporation dalam kenyataan hari ini berkata lubang benam itu dikesan kira-kira 9.35 malam tadi, di lorong paling kanan Jalan Bukit Bintang (menghala Pavilion) bersebelahan Menara Worldwide dan stesen Shell.

Dua lagi lorong paling kanan turut ditutup untuk kerja baik pulih itu.

Menurutnya lubang benam itu turut menyebabkan gangguan bekalan air sementara ke Bangunan LTAT, Menara Worldwide dan Yayasan Tun Razak berikutan kerosakan pada tiga paip, bagaimanapun Syabas telah dipanggil untuk melakukan kerja pembaikan malam tadi dan bersambung hari ini.

Sementara itu, laluan kontra trafik diwujudkan iaitu trafik dari Bukit Bintang menghala Jalan Tun Razak akan dilencongkan ke dua lagi lorong Jalan Jalan Bukit Bintang manakala trafik dari Jalan Tun Razak menghala kawasan Bukit Bintang dilencongkan ke Jalan Eaton.

Menurut kenyataan itu, beberapa jalan di kawasan Bukit Bintang turut ditutup sempena lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web MRT di www.mymrt.com.my atau www.mymrt-underground.com.my, Twitter @MRTMalaysia atau  @MyMRTUnderground, Facebook @MRTMalaysia atau hubungi hotline 1800-82-6868.

- Bernama
 

No comments:

Post a Comment