Friday, April 25, 2014

Mati angkara parut di badan tak hilang

 25 April 2014  
Nibong Tebal: Beberapa jam selepas mengadu runsing sama ada kesan parut di muka dan badan akibat kemalangan di tempat kerja boleh pulih atau sebaliknya, seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tengah sebuah rumah di Taman Merak, Bukit Tambun, di sini, pagi semalam.
Mayat lelaki berusia 37 tahun itu ditemui tergantung dengan kedua-dua tangan terikat menggunakan tuala oleh bapanya yang risau selepas beberapa panggilan telefon tidak dijawab sebelum bergegas ke rumah lelaki berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Superintendan Shafien Mamat berkata, dua beranak itu menghabiskan masa bersama-sama di rumah bapanya di Taman Seri Emas, di sini, pada jam 5.30 petang kelmarin dan si anak kelihatan runsing dan sering bertanya sama ada parut di muka dan badan akibat kemalangan di kilang tempat kerjanya boleh sembuh atau tidak.

Beliau berkata, pada jam 1 pagi semalam, lelaki berkenaan meminta bapanya berusia 65 tahun menghantarnya pulang dengan alasan mahu bersendirian dan menenangkan fikiran kerana serabut memikirkan masalah dihadapinya itu.

“Bagaimanapun, pada jam 6.30 pagi tadi (semalam), bapanya mula mengesyaki ada yang tidak kena selepas mangsa tidak menjawab panggilannya sebelum bergegas ke rumah anaknya semula untuk meninjau kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

“Apabila sampai bapanya mendapati kediaman itu berkunci dan memanggil lelaki berkenaan sebelum membuka mangga kunci dan masuk ke dalam kediaman sebelum menemui mangsa dalam keadaan tergantung,” katanya.
Difahamkan, ketika ditemui kedua-dua tangan lelaki terbabit terikat dengan tuala.

Shafien berkata, mangsa sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, bagaimanapun ketika kejadian isterinya sudah keluar bekerja manakala anaknya dijaga bapa saudaranya.
“Kami sedang menunggu laporan bedah siasat untuk mengenal pasti punca kematian lelaki terbabit dan siasatan masih diteruskan bagi mengesan sekiranya kejadian mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya,” katanya.

Mayat mangsa di hantar ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat. myMetro

No comments:

Post a Comment