MCA
digesa supaya menyatakan pendirian tegas mengenai pelaksanaan hudud
selepas Umno secara terbuka menyokong hasrat PAS membentangkan Rang
Undang-Undang (RUU) Persendirian di Parlimen untuk membolehkan hudud
dilaksanakan di Kelantan.
Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok (gambar) berkata, Presiden Datuk Seri
Liow Tiong Lai perlu jelaskan pendirian sebenar MCA dan keputusan yang
akan diambil ekoran kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak
bahawa kerajaan pusat tidak pernah menolak pelaksanaan hudud.
"Kebisuan MCA bukan hanya sebab mereka tidak pernah ada keberanian
untuk bersemuka dengan Umno malah takut hilang peluang menyertai semula
Kabinet," kata Teresa dalam kenyataannya hari ini.
Namun katanya, serangan mereka terhadap DAP lebih bersifat tipu dan
fitnah kerana kedudukan DAP dalam persoalan hudud sejak dulu amat jelas
dan konsisten bahawa hudud melanggar prinsip Perlembagaan dan tidak
sesuai bagi masyarakat majmuk di Malaysia
"DAP parti berprinsip dan berpegang pada kata-kata, tidak seperti MCA
yang hanya menjadi parti sesumpah untuk kelangsungan politik," katanya.
Katanya, MCA mungkin mudah lupa mereka pernah menyatakan sokongan
tidak berbelah bahagi terhadap kenyataan bekas Perdana Menteri Tun Dr
Mahathir Mohammad semasa deklarasi September 2001 bahawa Malaysia adalah
negara Islam, dan rakyat sama sekali tidak akan lupa tentang sejarah
MCA sudah “dibeli”.
Berbeza dengan DAP menurut Teresa secara lantang menentang deklarasi
Mahathir dan menyatakan pendirian jelas yang DAP tidak menyokong
mana-mana konsep pembentukan negara Islam, sama ada ala PAS atau Umno.
"MCA perlu segera hentikan kenyataan tidak berasas terhadap DAP untuk
mengalihkan tumpuan rakyat terhadap kegagalan parti itu menyatakan
respons terhadap kenyataan Najib," katanya.
Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno minggu lalu memutuskan untuk
menyokong pandangan Najib dan menunggu masa untuk mengadakan muzakarah
(perbincangan) dengan PAS terlebih dahulu sebelum memutuskan bagi
melaksanakan hukum berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lalu
dilaporkan berjumpa Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di
kediaman bekas menteri besar Kelantan itu di Kota Bharu, dipercayai
mengadakan perbincangan lanjut mengenai hudud. – 29 April, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment