Monday, April 14, 2014

NGO: Keterlaluan tuduh mualaf culik anak

14 Apr 2014
Sekumpulan NGO Islam Negeri Sembilan berpendapat, tuduhan 'menculik' terhadap seorang mualaf yang mengambil anak dalam jagaan bekas isteri beragama Hindu adalah keterlaluan.

Setiausaha Gabungan Persatuan Dakwah Negeri Sembilan Shamsul Azhar Yahya berkata, perbuatan itu ekoran keputusan mahkamah syariah memberikan hak penjagaan kepadanya, walaupun mahkamah sivil memutuskan sebaliknya selepas itu.

"Berdasarkan fakta yang ada, saya fikir yang keluar dalam akhbar bukanlah tak tepat 100 peratus.

“Tapi penggunaan perkataan 'menculik' tidak tepat untuk (menggambarkan) tindakan Izwan ini.

“Bagaimanapun kebanyakan akhbar utama ada nyatakan kedua pihak ada perintah mahkamah," katanya dalam sidang media di Seremban hari ini.

Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan pada 19 September tahun lalu mengeluarkan perintah bahawa hak penjagaan kekal diberikan kepada Izwan.

Tiada perintah pembatalan

Deepa bagaimanapun diberi akses dan hak lawatan terhadap anak-anak tersebut pada bila-bila masa yang munasabah dengan makluman awal kepada Izwan.

Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April bagaimanapun kemudian membuat keputusan sebaliknya, yang menyebabkan Izwan mengambil seorang anaknya daripada jagaan Deepa.

Mengulas perkara itu, Shamsul berkata, keputusan terbaru mahkamah sivil itu tidak menyertakan perintah membatalkan keputusan mahkamah syariah dan Izwan percaya ia masih berkuat kuasa.

"Pada 14 April, Izwan telah memfailkan satu afidavit penjelasan tingkah laku pengambilan anak pada 9 April 2013 untuk memberikan penjelasan kepada mahkamah apa yang berlaku dan bertujuan menjawab tohmahan dan membidas laporan negatif yang menyatakan beliau menculik anak lelaki tersebut.

"Penghakiman Mahkamah Tinggi Seremban pada 7 April 2014 didapati tidak ada apa-apa perintah untuk membatalkan perintah mahkamah tinggi syariah Seremban.

“Beliau (Izwan) percaya bahawa perintah tersebut masih berkuatkuasa dan masih mempunyai kesan undang-undang ke atas beliau,” ulas Shamsul

Pertindihan bidang kuasa

Sementara itu wakil Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PPSM) Hanif Hassan dalam sidang media sama mendesak kerajaan pusat dan negeri menggubal undang-undang yang tegas dan menyeluruh untuk menyelesaikan pertindihan bidang kuasa dalam kes seperti ini.

Bagaimanapun beliau tidak mahu mengulas lanjut mengenai peruntukan undang-undang dalam kes itu kerana ia masih berjalan.

Beliau mahu semua pihak dalam masa sama memberi peluang kepada mahkamah serta Izwan dan Deepa untuk bertikai dan meneruskan proses undang-undang tanpa tekanan dan mengikut lunas-lunas keadilan.

"Untuk menangani perkara ini, kerajaan negeri perlu buat langkah gubal undang-undang yang tegas dan menyeluruh bagi mengelak ia berlaku,” katanya.

Gabungan NGO itu antaranya dianggotai NGO Islam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Sembilan, Persatukan Ikatan Muslimin (ISMA) Negeri Sembilan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Negeri Sembilan.

Sidang media turut dihadiri parti politik dan NGO Melayu seperti Pemuda Umno Bahagian Rasah, Persatuan Institusi Ayahanda Pertiga Malaysia (Per3) Negeri Sembilan dan Majlis Kekanda Per3 Negeri Sembilan.Malaysiakini

No comments:

Post a Comment