Penasihat DAP, Lim
Kit Siang hari ini berkata kedudukan Malaysia pada tangga ke-39 di
kalangan 44 negara dalam ujian penilaian pencapaian pelajar (PISA) dunia
membuktikan bahawa Malaysia tidak mempunyai cara lain menyelamatkan
sistem pendidikan negara melainkan dengan penukaran tampuk pemerintahan.
Beliau yang juga ahli Parlimen Gelang Patah mengulas ranking terbaru
PISA dalam ujian penyelesaian kreatif itu berkata jelas menunjukkan
bahawa sistem pendidikan negara di Malaysia kini sedang berdepan dengan
krisis yang amat besar.
"Dengan ranking terbaru yang dikeluarkan PISA kita hanya akan mendapat
satu isyarat jelas bahawa sistem pendidikan negara kita berdepan dengan
krisis.
"Dan sekiranya mereka masih tidak mahu mengambil sebarang pengajaran
mengenai ini maka saya yakin sistem pelajaran negara ini akan terus
mundur dan ini tidak akan berubah sekiranya kerajaan tidak bertukar,"
katanya kepada The Malaysia Insider di lobi Parlimen hari ini.
Malaysia berada di tangga ke-39 dengan min skor 422 dalam penilaian
pertama mengenai penyelesaian masalah kreatif bagi pelajar 15 tahun yang
menduduki ujian PISA sementara negara jiran Singapura mengatasi
Malaysia dengan min skor 562.
Keseluruhan min skor untuk semua negara ialah 500 dimana ujian itu dilaksanakan pada 2012 dan keputusannya dikeluarkan semalam.
Lim berkata memburukkan keadaan lagi, Menteri Pendidikan yang juga
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja tidak
mahu mengakui kelemahan yang wujud dalam sistem pendidikan negara malah
tidak memberi sebarang kenyataan mengenai perkara itu.
"Kita amat kesal kerana menteri (Muhyiddin) langsung tidak mahu memberi
kenyataan malah sejak dulu apabila laporan PISA kali pertama
dikeluarkan tidak ada sebarang langsung reaksi diberikan beliau.
"Beliau juga tidak langsung tidak mahu mengakui bahawa terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara," katanya.
Katanya sekiranya kerajaan masih lagi berpegang dengan kepercayaan
bahawa sistem pendidikan tidak mempunyai kelemahan maka usaha
melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia juga akan gagal.
Malaysia pula hanya mendapat 0.9% pecahan pencapai tinggi berbanding
29.3% diperoleh Singapura. Pecahan Malaysia di bawah peratusan purata
iaitu 11.4%.
Ini menunjukkan hanya seorang daripada 10 pelajar Malaysia, berusia 15
tahun, yang mampu menyelesaikan masalah paling kompleks, dibandingkan
dengan seorang daripada lima pelajar di Singapura, Korea Selatan dan
Jepun.
Malaysia memperolehi 29.1 dalam kadar penyelesaian bagi tugasan
mengukur pemerolehan pengetahuan dan 29.3 untuk tugasan penggunaan
pengetahuan sementara Singapura mendapat markah 62 dan 55.4
masing-masing bagi tugasan berkenaan, jauh lebih tinggi daripada markah
purata semua negara iaitu 45.5 dan 46.4.
Selain itu, Malaysia juga mendapat keputusan yang teruk dalam penilaian
PISA sebelum ini yang mengukur bagaimana pencapaian pelajar di 65
negara dalam mata pelajaran matematik, sains dan membaca.
Menurut keputusan PISA pada 2012, pelajar Malaysia hanya mendapat
markah di bawah purata atau berada di tangga 52 daripada 65 negara.
Malah, pelajar Vietnam berada di tangga ke-17 daripada 65 negara itu.
Hanya seminggu lalu, pakar ekonomi Bank Dunia bercakap mengenai kualiti
rendah sistem pendidikan Malaysia lebih membimbangkan daripada paras
hutang isi rumah rakyat negara ini. – 2 April, 2014.The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment