Universiti
awam dan swasta tempatan perlu bersedia menyerap dan menerima kaedah
pengajaran baru jika mahu mencapai aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 untuk menjadi antara tiga negara terbaik dalam
kecemerlangan pendidikan.
Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris Prof Datuk Dr Zakaria
Kasa berkata ia adalah cabaran baru dalam kaedah pengajaran dan
pembelajaran bagi universiti tempatan.
"Universiti berkenaan juga perlu menyusun semula kurikulumnya supaya
selaras dengan perubahan yang dilakukan dalam pendidikan sekolah kerana
apa yang berlaku di sekolah haruslah diteruskan di universiti bagi
membolehkan para pelajar mempunyai minat untuk belajar," katanya kepada
pemberita di George Town.
Prof Dr Zakaria berkata sebagai contoh, jika sekolah mahu melaksanakan
teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam pengajarannya, universiti juga
perlu meneruskan istem penyampaian itu.
Penyelidikan menunjukkan kualiti guru merupakan faktor berasaskan
sekolah yang paling penting bagi menentukan kemenjadian pelajar,
katanya.
Sementara itu, Naib Canselor USM Prof Datuk Dr Omar Osman berkata Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia itu perlu mampu bergerak selari dengan
objektif yang ditetapkan dalam sistem pendidikan sekolah di Malaysia.
"Tempoh pelan pembangunan akan membolehkan sistem pendidikan yang
diterajui para guru mencapai matlamat masa depan yang lestari," katanya.
Menurutnya para pelajar adalah keutamaan dalam mana-mana sistem
pendidikan dan berikutan itu, keperluan mereka perlu diberi perhatian. –
Bernama, 11 April, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment