11 Apr 2014
SHAHBUDIN HUSIN
Ahmad
Zahid Hamidi agar bekas Ketua Menteri Sabah, Yong Teck Lee menamparnya
sendiri serta diberi habuan wang tunai sebanyak RM501 dan tidak perlu
bersusah payah mencari orang lain untuk melakukannya, akhirnya disambut
dengan tangan terbuka oleh pemimpin dari Sabah itu.
Untuk
menjadikan acara menampar itu menjadi realiti, beliau mempelawa Zahid
agar datang ke Lahad Datu atau Semporna secara sendirian tanpa diiringi
oleh polis atau dikawal oleh pengawal peribadinya.
Seterusnya, kata Yong, wang RM501 yang diterimanya daripada Zahid itu akan didermakan kepada Tabung Wira Lahad Datu.
Ini
bermakna sekarang ini terpulang kepada Zahid pula sama ada bersedia
membenarkan pipinya ditampar atau sebaliknya. Jika bersedia, beliau
perlulah memenuhi syarat dan permintaan Yong itu iaitu datang Lahad Datu
atau Semporna secara peribadi tanpa diiringi oleh polis atau pengawal
peribadinya.
Rasanya
tiada alasan lagi untuk Zahid berdalih dalam perkara ini, kecualilah
jika beliau tidak sedia pipinya ditampar oleh Yong Teck Lee.
Berikutan
kejadian penculikan dua warga China dan Filipina di Semporna minggu
lalu serta beberapa penculikan sebelum ini serta insiden pencerobohan di
Lahad Datu, Yong yang merupakan bekas Ketua Menteri Sabah menyalahkan
Menteri Dalam Negeri dalam mengawal keselamatan atas kejadian yang
sering berulang di negeri Sabah.
Lantaran
itu, beliau menawarkan RM500 kepada sesiapa yang dapat menampar muka
Zahid atas anggapannya menteri itu telah gagal dalam menjalankan
tugasnya.
Zahid
kemudiannya meminta Yong Teck Lee agar tidak perlu bersusah payah
mencari orang lain untuk menamparnya, sebaliknya mencabar pemimpin Sabah
itu agar menamparnya sendiri dan beliau akan memberikannya ganjaran
sebanyak RM501.
Sebelum
itu, susulan penerbitan klip video oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa
Kok yang dianggap menghina Perdana Menteri, Najib Razak, telah
menyebabkan sebuah NGO iaitu Isma menawarkan ganjaran RM500 kepada
sesiapa yang berani menampar muka pemimpin DAP itu. Nilai tawaran yang
diberikan kemudian ditingkatkan sehingga RM1200 tetapi tiada sesiapa
yang menyahut, kecuali ada seorang pemuda bersalam berlapikkan telur
busuk ditangannya.
Sejak
itu kewajaran menampar seseorang mula menjadi polemik dan laporan polis
juga telah dibuat terhadapnya. Bagaimanapun Zahid yang ditekan untuk
bertindak terhadap Isma, telah menolak untuk berbuat demikian dengan
alasan tawaran menampar bukanlah suatu bentuk ugutan jenayah sepertimana
mengeluarkan ugutan mahu membunuh.
Zahid
kemudian terus dikecam atas pendiriannya itu dan disifatkan sebagai
menteri yang tidak begitu memahami undang-undang dan seolah-olah hanya
mahu menyiasat setelah kejadian menampar itu benar-benar berlaku.
Tetapi
kini, berikutan pendirian Zahid itu, kejadian menampar ini seperti
terkena batang hidungnya sendiri. Beliau kini bukan saja tidak dapat
lagi mengawal berlakunya tawaran menampar kepada sesiapa saja, bahkan
juga terpaksa reda jika tawaran yang sama melibatkan dirinya.
Dengan
kesediaan Yong untuk menampar sendiri Zahid dan mendermakan RM501 yang
dijanjikan kepada Tabung Wira Lahad Datu, maka Zahid secara prinsipnya
perlulah menyahutnya dan datang ke Lahad Datu atau Semporna tanpa
diiringi polis atau pengawal keselamatannya. Beliau hanya perlu datang
dengan penyokong-penyokong saja.
Sebagai
menteri dalam negeri, ada baiknya juga jika Zahid dapat mengarahkan
pihak polis supaya mengawal keadaan dan menyediakan pentas yang sesuai
untuk acara menampar itu dilangsungkan sambil disaksikan oleh rakyat
Sabah. Maklumlah ini merupakan acara yang julung-julung kali diadakan di
negara ini dan melibatkan dua pemimpin yang "terlebih cerdik" dalam
berpolitik.
Cabar-mencabar
untuk menampar ini tidak sepatutnya berlaku jika kedua mereka sedikit
matang dalam politik dan tidak membiarkannya berlarutan. Tetapi oleh
kerana mereka nampaknya suka cara politik begitu, maka teruskan saja
sehingga ada titik penyudahnya.
Lebih
elok lagi jika dapat dibuat siaran langsung melalui televisyen ke
seluruh negara supaya rakyat dapat melihat sendiri majlis menampar yang
melibatkan dua pemimpin "paling cerdik" itu dilakukan. Mungkin juga
dapat menjadi acara sempena Tahun Melawat Malaysia yang kini sudah
kekurangan pengunjung berikutan insiden hilangnya pesawat MH370. Manalah
tahu jika Zahid terasa pipinya sakit kena penampar Yong itu, beliau
akan membalas balik dan berlakulah pula saling tampar-menampar antara
kedua pemimpin tersebut.
Tentulah
gempak dan gamat jadinya majlis itu. Lebih gempak dan gamat lagi jika
selepas berbalas penampar itu, mereka bergusti pula. Barulah dunia
politik kita betul-betul meriah dan menjadi bahan ketawa rakyat di mana
jika sebelum ini ada yang menjerit, mengejek-ngejek dan melakukan aksi
kurang sopan di Parlimen atau Dewan Negeri, rupa-rupanya ahli politik
juga boleh beraksi lebih dahsyat daripada itu.
Moga
antara Zahid atau Yong Teck Lee, tidak ada yang berdalih lagi selepas
ini kerana rakyat sebenarnya sudah tidak sabar untuk menyaksikan majlis
tampar-menampar ini. (SH 10/04/2014)
No comments:
Post a Comment