Reaksi
kepada kenyataan 'Umno celaka' oleh RSN Rayer tidak disangkanya akan
mencetuskan kekecohan terutamanya apabila ahli Umno sudah lama
menggunakan perkataan-perkataan kesat terhadapnya dahulu. – Gambar The
Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 25 Mei, 2014. Ahli
Dewan Undangan Negeri (Adun) DAP yang kini sedang hangat dengan isu
kenyataan "Umno celaka" menyalahkan Umno atas kesan buruk terhadapnya
dengan mengatakan parti Melayu terbesar itu menggunakan politik
perkauman sebagai pertahanan utama dalam kempennya dalam Pilihan Raya
Kecil (PRK) hari ini dan minggu depan.
Adun Seri Delima, RSN Rayer yang dikecam kerana kenyataannya,
mengatakan terdapat ahli Umno menggunakan kata-kata kesat terhadapnya
dahulu.
"Saya rasa memang saya patut berhati-hati dengan kata-kata saya, tetapi
sebenarnya apa sahaja yang saya katakan boleh dimanipulasi," katanya
kepada The Malaysian Insider di rumahnya di Pulau Pinang.
"Tentulah saya akan terus bersuara. Tetapi pada masa yang sama, saya
beritahu diri sendiri supaya berhati-hati dan lebih bijak daripada jatuh
ke dalam perangkap mereka."
Rayer, 37, tiba-tiba mendapati beliau diselubungi kontroversi selepas
merujuk kepada tiga ahli Umno sebagai 'celaka' kerana cuba mengatakan
DAP yang mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei 1969.
"Saya katakan begitu kerana walaupun kamu laungkan 1Malaysia
merata-rata, tiba-tiba kamu ada ahli yang membawa kain rentang berbaur
hasutan, mencadangkan seolah-olah DAP yang bertanggungjawab atas rusuhan
kaum 13 Mei dan bertanya jika kami mahu ianya berulang lagi."
Rayer merujuk kepada perhimpunan yang diaturkan oleh badan bukan
kerajaan (NGO) Melayu di Seberang Jaya pada 18 Januari yang tidak
berpuas hati dengan Adun Machang Bubuk, Lee Khai Loon yang mengaturkan
flashmob 'I Love Kangkung' di mana sebuah patung Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Razak disumbat dengan kangkung selepas kenyataan tentang
penurunan harga sayur itu.
Rayer adalah seorang peguam yang menyertai DAP pada 1998 selepas
bekerja dengan bekas ahli Parlimen Bukit Gelugor, mendiang Karpal Singh.
"Saya menjalani latihan guaman dengan mendiang Karpal yang banyak mempengaruhi saya dalam kerjaya politik saya."
Bercakap tentang bekas majikan beliau, Rayer berkata sebahagian
daripada ciri-ciri lantang beliau datang daripada bekas pengerusi DAP
Karpal, yang mengajar beliau jika "sesuatu perlu diungkapkan, ia perlu
dikatakan, tidak kira apa akibatnya."
"Tiada jalan lain bagi ini dan saya tidak akan berdolak-dalik." tambahnya.
Rayer yang lahir di Alor Star berkata beliau tidak menyangka kenyataan
itu akan mencetuskan provokasi sedemikian rupa terutamanya daripada
Pemuda Umno yang merempuh masuk ke dalam Dewan Undangan Negeri (DUN)
Pulau Pinang pada Khamis untuk mencarinya.
"Saya betul-betul tidak sangka. Mengapa mereka perbesarkan isu ini?
Mereka sudah gunakan lebih banyak kata-kata kesat terhadap saya -
keling, pariah, haram jadah dan banyak lagi." TMI
No comments:
Post a Comment