Meskipun
krisis politik di Terengganu berlalu dengan pantas dan Barisan Nasional
(BN) masih kekal memerintah negeri itu, penduduk Terengganu berasa
alasan yang diberikan bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said (gambar)
terlalu remeh untuk meninggalkan Umno.
Kebanyakan penduduk di kawasan Kuala Terengganu yang ditemui The
Malaysian Insider berpendapat, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) Kijal itu agak keterlaluan berikutan risiko tindakannya itu mampu
menukar kerajaan yang memerintah Terengganu.
"Kami rasakan tindakan beliau keluar Umno semata-mata salah faham
tarikh perkahwinan anaknya suatu perkara yang terlalu remeh," kata Wan
Mohd Nazmi, 23.
Pekerja dalam bidang carigali petroleum dan gas yang merupakan anak
jati Terengganu itu berkata, alasan yang diberikan Ahmad seumpama
"kanak-kanak yang merajuk."
"Risiko berlaku pertukaran kerajaan itu boleh berlaku jika krisis ini berpanjangan," katanya.
Mohd Zaki Abdullah, 32, turut berasa tindakan Ahmad bersama Adun Ajil
Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi Roslee Daud meninggalkan Umno agak
keterlaluan dengan alasan sedemikian.
"Perkara itu tidak sepatutnya berlaku," katanya.
Mohd Zaki turut menambah, beliau bagaimanapun mengharapkan akan berlaku
pilihan raya negeri di Terengganu untuk menyelesaikan kemelut itu.
"Krisis ini tidak akan tamat dengan mudah ... saya rasa lebih baik
diadakan pilihan raya negeri semula," katanya yang juga pekerja dalam
bidang carigali petroleum dan gas.
Sementara itu, pelajar berusia 21 tahun, Amir Abd Aziz berkata,
meskipun Ahmad dikenali sebagai seorang yang "gopoh", dan mencetuskan
isu yang menggoncang kerajaan Terengganu, anak-anak muda negeri itu
berasa beliau banyak menyumbang untuk pembangunan sukan di Terengganu.
"Ahmad disukai anak-anak muda kerana beliau amat mengambil berat berkenaan sukan di sini.
"Terutamanya sukan berbasikal dan aktiviti sukan bermotor. Beliau yang membangunkan sukan-sukan ini di Terengganu," katanya.
Ahmad bersama dua Adun mengumumkan keluar Umno pada 13 Mei, sehari
selepas Menteri Besar Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah
pada malam 12 Mei.
Tindakan itu mencetuskan kontroversi ekoran jumlah perbezaan kerusi
yang terlalu tipis antara BN dan Pakatan Rakyat (PR) di Terengganu.
BN memiliki 17 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala PR dari PAS dan PKR masing-masing 14 dan satu kerusi.
Dengan pengisytiharan keluar parti oleh Ahmad, Ghazali, dan Roslee,
sekaligus menyaksikan DUN Terengganu memiliki tiga kerusi adun Bebas
dengan kedudukan genting buat BN apabila hanya memiliki 14 jumlah
kerusi.
PAS juga ketika itu mendesak pilihan raya negeri dilaksanakan di Terengganu.
Ketiga-tiga anak muda itu bagaimanapun berasa sekiranya pilihan raya
negeri berlaku, BN akan kehilangan lebih banyak kerusi dan PAS akan
mengambil alih Terengganu.
"Kita sudah tahu akan berlaku pertukaran menteri besar tetapi tidak
menjangkakan keadaan sebegini yang akan terjadi," kata Amir.
Penuntut dalam bidang kejuruteraan itu berkata, khabar angin berkenaan
pertukaran Ahmad sebagai menteri besar mula tersebar selepas Pilihan
Raya Umum ke-13 (PRU13) berlangsung.
Krisis politik di Terengganu bagaimanapun selesai apabila Ahmad dan dua
rakan Adun itu menarik balik surat pengisytiharan keluar Umno mereka
kurang 48 jam kemudian.
"Kita sebagai rakyat melihat sahaja keputusan kepimpinan negeri," kata ahli perniagaan, Hassan Mazlan, 37.
Beliau berkata, rakyat akan menilai tindakan mana-mana pemimpin dan membuat keputusan selanjutnya berdasarkan penilaian mereka.
"Kalau 'molek' baguslah ... tapi kalau tindakan tidak molek rakyat akan nilai," katanya.
Bersependapat dengan beliau, Mariatul Mohammad, 30, yang berpendapat
tindakan Ahmad agak keterlaluan jika dibandingkan dengan isu sebenar
yang menjadi punca insiden tersebut.
Ketika menjelaskan alasan terhadap tindakannya, Ahmad berkata, insiden
tersebut berlaku disebabkan salah faham antara beliau dan Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung tarikh perkahwinan anak
perempuannya yang berlangsung pada 17 Mei ini.
Ahmad berkata, perdana menteri itu menyangka majlis berkenaan sudah
selesai pada 10 Mei, sekaligus menyaksikan Ahmad digantikan dengan Ahmad
Razif sebagai menteri besar.
Perdana menteri dan Ahmad Razif dijangka akan menghadiri majlis
perkahwinan anak perempuan Ahmad itu di kediamannya di Kemaman,
Terengganu. – 17 Mei, 2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment