Friday, May 16, 2014

Bantah TPPA sokong tindakan pelajar UM

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Bantah TPPA menyokong tiga pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib dari Universiti Malaya (UM) untuk tindakan mereka memegang papan tanda "TIADA TPPA" semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama baru-baru ini.

Hal Ehwal Pelajar universiti itu hari ini mengarahkan ketiga-tiga mereka untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab.

"Pertama sekali, Bantah TPPA ingin menyatakan rasa kagum kami terhadap pelajar tersebut yang maklum bahawa Obama sebenarnya adalah penganjur utama Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan," ujar Bantah TPPA dalam kenyataan kepada Harakahdaily, sebagaimana di bawah.

Bantah TPPA ingin menyuarakan sokongan kami kepada tiga orang pelajar yang dikenakan tindakan tatatertib dari Universiti Malaya (UM) untuk tindakan mereka memegang papan tanda "TIADA TPPA" semasa lawatan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama baru-baru ini.

Ketiga-tiga pelajar berikut adalah Naib Presiden Majlis Pelajar UM Lee Jin Yang, Setiausaha Fahmi Zainol dan Timbalan Setiausaha Leong Yu Sheng.

Hal Ehwal Pelajar universiti itu hari ini mengarahkan ketiga-tiga mereka untuk mengeluarkan surat tunjuk sebab.

Pertama sekali, Bantah TPPA ingin menyatakan rasa kagum kami terhadap pelajar tersebut yang maklum bahawa Obama sebenarnya adalah penganjur utama Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang sedang dirundingkan.

Kami menghargai usaha mereka yang bertindak sedemikian demi menyebar mesej yang lebih luas ke mata dunia, dengan menunjukkan wujudnya tentangan terhadap perjanjian ini di kalangan belia, terutamanya dari institusi pendidikan tinggi terkenal Malaysia.

Dan setelah kami menyaksikan sesi soal jawab dengan Presiden Obama, kenyataan yang keluar dari pelajar-pelajar ini adalah yang paling bernas dan berintelek setakat ini.

Walaupun TPPA terus berlarutan dalam peringkat rundingan dan dijadualkan hanya akan selesai sebelum akhir tempoh penggal pentadbiran Obama, kesannya akan terus dirasai secara jangka panjang bukan sahaja oleh mereka yang memimpin hari ini tetapi juga bakal pemimpin masa depan, khususnya mereka yang sedang menuntut di institut pengajian tinggi hari ini.

Pelajar-pelajar universiti perlu tahu bahawa TPPA bakal memberi kesan kepada mereka sekiranya 12 negara perjanjian ini meluluskannya disebabkan peruntukan yang dianggap perlu dimasukkan Amerika Syarikat.

Hak milik intelek akan menjadikan buku-buku teks lebih mahal dan kemungkinan tanpa akses, kebebasan internet akan menjadi terhad dan kos sara hidup yang terus meningkat diburukkan lagi dengan kos perubatan dan rawatan yang lebih tinggi.

Tambahan, apa sahaja hutang terakru oleh kerajaan akan diturunkan kepada generasi seterusnya. Ini satu kemungkinan besar sekiranya kerajaan kita meluluskan TPPA dan terlibat dalam penyelesaian pertikaian pelabur (ISDS) yang boleh membawa keluar berbilion-bilion ringgit daripada simpanan negara.

Ini kemudiannya akan meninggalkan generasi akan datang sebagai pelapis pembayar hutang.

Oleh itu, kami terkejut apabila mendapat tahu universiti sedang mengambil tindakan terhadap ketiga-tiga pelajar ini.

Di peringkat antarabangsa, protes terhadap TPPA bukan sahaja di kalangan mereka di Australia, New Zealand dan Jepun, tetapi juga rakyat Amerika Syarikat sendiri. Juga diketengahkan, Presiden Obama sendiri menyatakan beliau sendiri menghadapi masa yang sukar dengan parti politik Demokrat yang berbeza pandangan.

Turut membantah dari pihak Obama adalah Wakil Perdagangan AS Michael Froman yang semasa memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kewangan Senat AS juga menghadapi bantahan "Pinocchio" yang diakui pengerusi jawatankuasa sebagai hak kebebasan bersuara.

 Jika Presiden Amerika Syarikat sendiri – seorang pemimpin dunia bebas - boleh menerima tentangan dan pendapat berbeza dari pihak beliau sendiri serta menyatakan beliau tidak peduli dengan bantahan yang berlaku di UM itu, mengapa Universiti Malaya memperlihatkan diri mereka sebagai terikat untuk menghukum mereka yang hanya ingin membuat kenyataan demi kebaikan Malaysia?

Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti mengatakan arahan surat tunjuk sebab adalah prosedur setiap kali pelajar bertindak menjejaskan nama baik universiti.

Pada pandangan kami pelajar tersebut tidak mencemar nama baik UM, sebaliknya menunjukkan sikap terbuka yang matang dalam membincangkan isu-isu antarabangsa yang akan memberi kesan terhadap negara.

Bantah TPPA menggesa Bahagian Hal Ehwal Pelajar mempertimbangkan semula teguran yang dibuat terhadap tiga pelajar berkenaan yang mewakili majoriti senyap rakyat Malaysia yang lebih besar dan semakin sedar kesan impak TPPA terhadap generasi akan datang.

Apa yang kami mahukan bukanlah untuk meminta semua pelajar menentang pelaksanaan dan rundingan TPPA, tetapi menyaran institusi pengajian tinggi yang tersohor seperti Universiti Malaya untuk menggalakkan perbincangan intelektual secara lebih terbuka.

No comments:

Post a Comment