Mohd Nor Hamzah  
  • Mohd Nor Hamzah
KUALA TERENGGANU - Ketua Penerangan Pas negeri Terengganu, Mohd Nor Hamzah menganggap isu pertukaran Menteri Besar yang kini sedang hangat diperkatakan tidak akan menyelesaikan masalah.

Menyifatkan perkara tersebut seolah-olah menyapu sampah ke bawah permaidani, Adun Bukit Payong itu berkata, tiba satu saat sampah berkenaan akan menimbun dan kembali kelihatan kerana pemimpin Umno tetap melakukan pembaziran wang rakyat.

“Melainkan pembubaran Dun dibuat dan rakyat diberi mandat untuk memilih semula kerajaan, sekali gus untuk menteri besar yang baru,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Mohd Nor, beliau mengikuti berita desas-desus pertukaran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang dikatakan berjanji dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengemudikan kerajaan selama setahun sahaja selepas menang PRU13.

“Saya sebagai rakyat Terengganu, merasakan berhak untuk mengemukakan beberapa persoalan agar jelas, apakah masalah yang sedang melanda Kerajaan Negeri Terengganu ini.

“Sebagai wakil rakyat, saya telah pun menjalankan tanggungjawab saya dengan mengemukakan soalan di dalam Sidang Dun baru-baru ini berkenaan pertukaran MB ini. Malangnya soalan saya ditolak oleh Dun.

“Apakah kesalahan Ahmad Said sebenarnya, sehinggakan beliau hendak diturunkan dari takhta MB ini? Jika kerana berlaku masalah dalam pentadbirannya, rakyat tak boleh tidak, mesti dimaklumkan,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Terengganu sudah muak dengan drama bersiri perbalahan dalaman Umno terutama antara ‘team utara’ dan ‘team selatan’ yang tidak berkesudahan sejak 2008.

Terbaharu, sebuah akhbar Bahasa Inggeris dalam laporannya Rabu lalu yang memetik sumber dari Putrajaya sebagai berkata, Putrajaya meminta dua Adun di Terengganu agar ‘bersiap sedia’ untuk menggantikan Ahmad sebagai Menteri Besar yang baharu.

Dua nama yang disebut-sebut sebagai calon MB ialah Exco Kerajaan Negeri yang juga Adun Seberang Takir iaitu Datuk Ahmad Razif Abd Rahman serta Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Tan Sri Wan Mokhtar.

Menurut sumber itu lagi, perkembangan baharu itu berikutan persetujuan Ahmad menandatangani tempoh selaku Menteri Besar yang tamat selepas setahun menyandang jawatan berkenaan dan peralihan kuasa mungkin berlaku antara tempoh antara 15 hingga 18 Mei ini.

Mengulas lanjut mengenai laporan itu, Ahmad yang juga Adun Kijal enggan memberikan sebarang kenyataan berhubung perkara itu dengan hanya mengatakan ‘no komen’.