Saturday, May 10, 2014

Nurul: Saifuddin masih ada peluang untuk timbalan

10 May 2014
Calon naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata rakan sepasukan dalam pemilihan PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail masih mempunyai peluang, walaupun tipis, untuk memenangi persaingan bagi jawatan timbalan presiden parti.

Dengan 17 lagi cabang PKR yang perlu mengadakan pemilihan semula serta proses pemilihan di Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Selangor minggu ini, mungkin mengubah kedudukan Saifuddin.

Menjawab soalan wartawan, Izzah tidak mahu menyatakan peluang Saifuddin telahpun terkubur tetapi berkata beliau masih ada harapan.

"Saya rasa tak nak sebut 'keajaiban' (untuk Saifuddin menang) tetapi kena lihat juga 17 cabang yang akan undi semula and keputusan 17 cabang itu akan beri sedikit indikasi siapa yang menang.

"Tapi saya tak boleh sebut sekarang (mengenai peluang siapa yang bakal menang)," kata beliau kepada wartawan di Taman Seri Sentosa hari ini.

Berdasarkan keputusan rasmi sehingga 4 Mei yang diperolehi Malaysiakini, Azmin mendapat 9,876, manakala Khalid (6,217) dan Saifuddin (5,717).

Sementara itu, bagi jawatan naib presiden pula, tiga regu kumpulan Saifuddin – Nurul Izzah, Rafizi Ramli dan Tian Chua masih mendahului tiga tempat teratas.

Nurul Izzah mendapat 13,013 undi, Tian Chua (11,845) dan Rafizi Ramli (10,561).

Rabu lalu Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) menyatakan bahawa pemilihan di 17 cabang terbabit terpaksa  diadakan semula kerana kontroversi manipulasi undi membabitkan kepimpinan tertinggi parti itu.

Tiga belas daripada 17 cabang terlibat iaitu empat di Terengganu (Setiu, Kuala Nerus, Kemaman, Dungun) dan masing-masing dua di Pahang (Paya Besar, Jerantut); Johor (Pengerang, Tenggara); Sarawak (Batang Sadong, Kapit) dan Sabah (Tenom dan Keningau). Cabang terbabit akan mengadakan pemilihan semula pada 17 Mei depan.

Manakala empat lagi cabang iaitu Tawau dan Papar di Sabah, Bukit Katil (Melaka) dan Sungai Petani (Kedah) akan mengadakan pemilihan semula pada tarikh yang akan ditetapkan kelak. Malaysiakini

No comments:

Post a Comment