KUALA LUMPUR:
Agak mengejutkan penggantian Menteri Besar Terengganu dikatakan kerana
Datuk Seri Ahmad Said mempunyai perjanjian dengan Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Razak yang bersetuju untuk memegang jawatan itu untuk tempoh
setahun saja selepas pilihan raya umum 5 Mei 2013 lalu.“Memanglah tiada salahnya dan merupakan hak Najib untuk menukar mana-mana Menteri Besar atau pemimpin lain yang dikehendakinya,” tulis Shahbudin Husin di dalam blognya semalam.
Menurutnya, Najib boleh menukarnya dengan apa saja alasan atau tanpa alasan sekali pun kerana itulah kelebihan sebagai Perdana Menteri.
Tetapi yang ingin diketahui ialah benarkah Ahmad Said ada perjanjian tamat tempoh dengan Najib?
Tanya beliau, apakah pula alasan perjanjian itu dibuat, adakah kerana prestasi buruk Umno Terengganu dalam pilihanraya umum lalu dan untuk menyuntik semangat baru menghadapi PRU14, maka seorang pemimpin baru perlu dilantik.
“Jika benar Ahmad Said ada perjanjian tamat tempoh yang perlu dipatuhi, bagaimana pula dengan peminpin negeri yang lain?" tanya beliau.
Baginya, tidakkah Menteri Besar Pahang dan Ketua Menteri Sabah yang lebih lama berkhidmat dan turut dilanda pelbagai masalah dalaman, juga sebenarnya perlu menandatangani perjanjian tamat tempoh yang sama.
Begitu juga, ujarnya bagaimana pula dengan Menteri Besar Negeri Sembilan, Perak dan lain pemimpin-pemimpin negeri yang turut mempunyai masalah tersendiri.
Beliau menambah, andainya hanya Ahmad yang diperlukan menandatangani perjanjian tamat tempoh dengan Najib, tentulah ia terlihat sesuatu yang tidak adil walaupun karektor dan kepimpinannya di Terengganu menimbulkan banyak masalah di negeri itu.
Ini, katanya kerana bukan Terengganu saja yang memerlukan suntikan semangat baru bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang, tetapi banyak negeri lain juga memerlukan perkara yang sama.
“Jika begitu, selain menukar Menteri Besar Terengganu, Najib sebenarnya perlu memberi perhatian yang seimbang untuk menukar ketua kerajaan di negeri yang lain juga,” ulasnya lagi.
Cumanya, bagi Shahbudin pertukaran itu mestilah disusuli dengan pertukaran di beberapa negeri lain serta rombakan yang serius di peringkat pusat.
Itu pun, katanya jika Najib benar-benar serius mahu menyuntik semangat baru dan masih mempunyai keinginan untuk memenangi pilihanraya umum akan datang yang masih berbaki tempohnya empat tahun lagi.
Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno negeri, Senator Datuk Abdul Rahman Bakar pula mengatakan Najib telah berjanji dalam mesyuarat MT Umno dua minggu lalu bahawa Ahmad akan terus kekal mengetuai kerajaan negeri, hakikatnya tiada masalah jika pertukaran itu ingin dilakukan. - HARAKAHDAILY 8/5/2014
No comments:
Post a Comment