Idris berkata, perkara itu bukan perkara baru, malah, menyedari perkara
itu berlaku, kerajaan melalui kementerian pendidikan membentuk Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia untuk mengatasi kelemahan dalam sistem
pendidikan negara.
"Kita sedar kalau mengikut Pisa kita antara yang terbawah. Kalau kita
baca pelan pendidikan Malaysia, kita tahu itulah keadaannya... ia bukan
perkara baru," katanya kepada pemberita selepas pertemuan ketua-ketua
eksekutif institusi pendidikan tinggi swasta di Kuala Lumpur hari ini.
Melalui PPPM juga katanya, kerajaan menyasarkan untuk menambahbaik sistem pendidikan negara.
Bekas Menteri Kewangan, yang lebih dikenali dengan panggilan Ku Li
sebelum ini berkata sistem pendidikan negara sedia ada tidak berkesan
membentuk negara maju sehingga memerlukan perubahan yang drastik dan
radikal.
Selain gagal dalam penilaian antabangsa, pemimpin veteran Umno itu
mendakwa sistem pendidikan gagal memupuk integrasi kaum serta gagal
menghasilkan modal insan berilmu, berprinsip dan mampu berfikir.
"Kita memerlukan sistem pendidikan yang dikagumi dan diidami; sistem di
mana ibu bapa berebut dan berlumba untuk mendapat tempat bagi anak
mereka di sekolah awam aliran kebangsaan yang tinggi nilai ekonominya
dan sekaligus tidak menghiraukan sistem persekolahan saingan.
"Diharapkan Pelan Pembangunan Pendidikan 2013 - 2025 mengambil kira
pandangan ini dengan maksud untuk melaksanakannya," katanya.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara juga gagal membentuk pelajar
menguasai komunikasi sehingga kedudukan negara yang dihormati satu waktu
dahulu kini terhakis.
Tengku Razaleigh berkata, sistem pendidikan sepatutnya menyumbang
kepada keutuhan integrasi kaum, tetapi kini, polarisasi antara kaum
adalah pada tahap yang parah dan mengkhuatirkan.
Beliau berkata, sistem pendidikan negara sangat lemah sehingga mendapat
perhatian dunia termasuk laporan Bank Dunia pada Mac lalu mengenai
kebimbangan mutu pendidikan rendah serta penilaian menggunakan standard
antarabangsa iaitu Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (Pisa) dan
Trend Pembelajaran dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMSS) yang
turut meletakkan Malaysia di tahap rendah.
Beliau mendakwa, kelemahan itu menyebabkan pembangunan ekonomi negara
semakin ketinggalan berbanding prestasi negara yang dahulunya dianggap
lebih ke hadapan daripada Hong Kong Taiwan, Singapura dan Korea Selatan.
Katanya, pada 1980 pendapatan per kapita Korea Selatan adalah AS$2,322 dan lebih rendah daripada Malaysia pada kadar AS$2,351.
Tetapi hari ini, katanya, pendapatan per kapita Korea Selatan lebih
handal dengan AS$24,328 dan dua kali lebih besar daripada negara pada
kadar AS$10,547.
Beliau turut membidas persepsi masyarakat akan hilang jati diri jika
menggunakan bahasa Inggeris sebagai 'lingua franca', sebaliknya
mengingatkan negara akan ketinggalan dan terus terpinggir daripada arus
globalisasi jika tidak menguasainya. – 12 Mei, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment