Datin
Paduka Marina Mahathir puji calon DAP di Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd
Daud seorang wanita muda yang bijak dan layak diberi peluang dalam
politik. Gambar fail The Malaysian Insider.Datin Paduka
Marina Mahathir enggan dikaitkan dengan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud
tetapi mempersoalkan kegagalan Barisan Nasional (BN) melahirkan calon
wanita muda.
Anak perempuan kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad
itu berkata, beliau menyokong mana-mana calon wanita muda yang
bertanding.
"Saya tidak kisah apa parti beliau (Dyana), beliau muda, perempuan dan
kita jarang lihat ia berlaku. Beritahu saya siapa yang sama tarafnya
dalam BN?
"Adakah kita memilikinya, atau seseorang. Saya sokong perempuan muda," kata Marina kepada The Malaysian Insider.
Beliau berkata, walaupun banyak calon muda wanita dalam arena politik,
contohnya Nurul Izzah Anwar, kebanyakannya adalah daripada pembangkang
Pakatan Rakyat (PR) dan bukannya BN.
"Ya, tapi beliau (Nurul Izzah) daripada pembangkang, dan tidak semuda Dyana," katanya.
Bagaimanapun, Marina enggan memberikan komen atau dikaitkan dengan
pandangan ibu Dyana Sofya, Yammy Samad semalam yang mencetuskan
perbincangan hangat di media sosial, ketika menjawab mengenai kecaman Dr
Mahathir terhadapnya.
Yammy berkata, beliau sehabis daya mahu Dyana Sofya mengikut jejak
langkah seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir tetapi
apakan daya perawakan anaknya itu lebih mirip kepada Marina.
Sebelum itu, Marina dalam komen di Facebook juga mempertahankan Dyana,
selepas dikritik sebagai terlalu mentah dan tidak berpengalaman.
Marina memuji Dyana kerana membidas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk
Razali Ibrahim yang menyentuh polisi pro-Bumiputera dalam Universiti
Teknologi Mara (UiTM), dan menyifatkannya sebagai seorang yang ‘bijak’
dan berada di depan ‘melebihi kebanyakan ahli politik’.
Dyana Sofya, 27, adalah graduan jurusan undang-undang UiTM.
"Gadis ini sangat bijak. Beliau boleh berfikir, petah berkata-kata, dan beliau juga boleh menulis.
"Itu sudah tiga perkara, lebih baik daripada kebanyakan ahli politik," kata Marina melalui Facebook.
"Saya tidak faham mengapa ramai yang menentangnya hanya kerana beliau
muda? Najib Razak (Perdana Menteri) menjadi menteri ketika berusia 26
tahun. Dyana hanya 27 tahun dan bertanding kerusi Parlimen. Kita perlu
lebih ramai orang muda kerana mereka bawa idea segar," kata Marina.
Dyana Sofya menjadi fenomena selepas DAP, parti berbilang kaum tetapi
mempunyai majoriti ahli berbangsa Cina meletakkan calon Melayu
bertanding di PRK Teluk Intan.
Banyak pihak mengkritik tindakan itu khususnya daripada Umno yang melabel Dyana sebagai pengkhianat dan "cubaan mengelirukan".
BN pula meletak calon lama iaitu Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong
yang juga pernah menjadi ahli Parlimen Teluk Intan sebelum ditewaskan
oleh calon DAP bagi dua pilihan raya umum berturut-turut.
Penamaan calon bagi pilihan raya ini diadakan pada 19 Mei lalu dan pengundian awal ditetapkan pada 27 Mei ini. – 21 Mei, 2014. TMI
No comments:
Post a Comment