Perlu elak dibayangi MB terdahulu 
  •  Ahmad Razif melihat dokumen sewaktu memulakan tugas di pejabatnya di Wisma Darul Iman, semalam.
KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu baharu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman perlu membuktikan beliau lebih baik dan keluar daripada bayangan mantan menteri besar terdahulu iaitu Datuk Seri Ahmad Said serta Datuk Seri Idris Jusoh.
Pensyarah Jabatan Kenegaraan dan Peradaban, Pusat Pendidikan Asas dan Liberal Universiti Malaysia Terengganu, Dr Hamdan Aziz berkata, setelah dilantik sebagai menteri besar pada 12 Mei lalu, rakyat Terengganu khususnya akan menilai keistimewaan tokoh itu sehingga dipilih sebagai ketua negeri yang baharu.
Menurutnya, Adun Seberang Takir itu perlu memfokuskan pada dua perkara utama, iaitu membuktikan kewibawaan beliau sebagai ketua negeri dan membuktikan keupayaan beliau untuk menyatukan ahli parti.
“Menjadi satu cabaran kepada Ahmad Razif, beliau mesti menjadi lebih baik daripada dua orang (bekas menteri besar) itu. Jika beliau kurang, rakyat akan lihat dan mempertikaikan kewibawaannya. 
“Ahmad, saya melihat lebih kepada pembangunan sosioekonomi, kalau Idris pula lebih kepada pembangunan infrastruktur. Tetapi pada Ahmad Razif, pembangunan dia, kita tak nampak lagi. Cabarannya adalah, bagaimana nak meneruskan kepimpinan Umno Terengganu bermula daripada Idris sehingga Ahmad?
“Masyarakat akan menilai ‘Kenapa pilih awak jika nampak awak lebih teruk daripada yang dulu. Awak tak buat apa pun, kenapa pilih awak? Kenapa buang yang dulu? Persoalan rakyat akan berlingkar soal itu,” katanya.
Teruskan legasi cemerlang MB terdahulu
Menurutnya, walaupun kemampuannya masih belum teruji sepenuhnya, Ahmad Razif yang berkhidmat sebagai wakil rakyat sejak 2008 sebenarnya sudah menunjukkan keupayaan beliau, dan banyak kejayaan serta idea sewaktu menjadi Exco.
Tetapi untuk meneruskan legasi ditinggalkan menteri besar sebelum ini merupakan tugas sukar buat Ahmad Razif kerana rakyat lihat dan ingat Idris yang menjurus kepada pembangunan material serta Ahmad yang lebih kepada pembangunan sosioekonomi.
“Rakyat nampak dan lihat apa yang menteri besar buat. Jadi apa yang perlu Ahmad Razif buat adalah membina legasinya sendiri. Saya lihat sesuai dengan kerjayanya sebagai pendidik, beliau memfokuskan pada pembangunan pendidikan. Tentunya beliau boleh jadikan Terengganu sebagai lokasi pelancongan budaya dan intelektual. 
Terengganu sarat dengan budaya, juga sarat dengan keintelektualannya. Ramai tokoh seperti Tok Pulau Manis, Tok Ku Paloh dan sebagainya. Itu boleh jadi sebagai antara sasaran yang menjadikan Terengganu sebagai hab pelancongan ilmu,” katanya.
Kata Dr Hamdan lagi, semasa zaman Idris, bekas menteri besar itu sudah mulakan dengan pembangunan sekolah imtiaz serta menghafaz dan membaca al-Quran di peringkat tadika. 
Kata beliau, usaha tersebut lebih menjurus pada pendidikan di peringkat sekolah dan Ahmad Razif boleh lakukan perkara sama, tetapi dibuat di peringkat masyarakat serta jabatan misalnya.
“Maknanya beliau boleh buat, kalau nak tengok keilmuan datang ke Terengganu. Sekarang, kita nampak di Kelantan, ia terjadi (kuliah agama) dengan sendiri, tiada orang yang suruh. Sasarannya adalah pendidikan,” katanya.

Cari titik perdamaian
Selain itu, katanya, cabaran utama perlu dihadapi Ahmad Razif adalah, bagaimana beliau dapat menyatukan kembali ahli parti di peringkat akar umbi dan memulihkan sokongan di kawasan kritikal seperti Kijal yang menjadi kubu kuat Ahmad.
Tetapi kata Dr Hamdan, dalam keadaan politik kini, Ahmad Razif tidak akan berdepan dengan masalah besar kerana masyarakat dan pengundi melihat krisis yang berlaku itu bukanlah persoalan parti, sebaliknya lebih kepada persoalan individu. 
Katannya, dalam situasi tersebut, pengundi tetap akan terus menyokong Umno. 
“Kita lihat sepanduk yang keluar itu pun berlegar soal nak marah kepada orang. Ahmad Said sendiri pun nak marah sebab ada hal peribadi, jadi di situ rakyat boleh menilai.
“Kecuali jika ada satu sebab besar yang berkait dengan parti dan orang Melayu. Keadaan mungkin berbeza. Tetapi kalau dilihat daripada personaliti Ahmad Razif, beliau seorang yang mesra,” katanya.
Sebagai bekas pendidik dan pernah menjadi pensyarah di Institut Pendidikan Guru Datuk Razali Ismail, Kuala Terengganu, Ahmad Razif dilatih untuk menerima perbezaan pendapat.