KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang
bersidang hari ini mengambil keputusan tidak akan meneruskan cadangan
membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada persidangan
Jun ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal yang bakal
ditubuhkan untuk mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan
Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.
Dalam satu kenyataan media tiga
perenggan yang ditandatangani Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul
Hadi Awang, beliau berkata mesyuarat telah membuat pertimbangan dalam
isu Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan dan mencapai
keputusan berikut:
-
PAS Pusat mengambil maklum dan
bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara
Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan
mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah
(II) 1993 Negeri Kelantan.
-
Oleh kerana itu cadangan membawa
Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada Persidangan Bulan
Jun 2014 ini tidak akan diteruskan. Ini bagi memberi ruang kepada
Jawatankuasa Teknikal di atas untuk merumuskan cadangan dan tindakan
selanjutnya.
No comments:
Post a Comment