Pakatan
Rakyat (PR) bersedia bila-bila masa sekiranya berlaku pembubaran Dewan
Undangan Negeri (DUN) Terengganu dan sehingga memaksa Pilihan Raya
Negeri (PRN) diadakan, kata Mohamed Azmin Ali (gambar).
Menurut timbalan presiden PKR itu, pihaknya mahu menunggu keputusan DUN
dahulu sebelum mengadakan mesyuarat dengan parti mengenai isu di
Terengganu.
"Saya akan memanggil supaya diadakan perjumpaan dengan Majlis Pimpinan
Negeri (MPN) Terengganu dan pimpinan tertinggi PKR untuk berbincang
mengenai kedudukan parti serta calon," katanya kepada The Malaysian
Insider hari ini.
Menurut Azmin, setakat ini masih belum ada perbincangan antara parti
dalam PR, namun menjangkakan mesyuarat tergempar Majlis Presiden akan
diadakan dalam masa terdekat.
Mengulas mengenai krisis di Terengganu, Azmin berkata Umno sepatutnya
menghormati mandat rakyat dan menggesa agar diadakan pilihan raya
semula.
"Itu merupakan jalan terbaik selepas Umno gagal menyelesaikan masalah
mereka sendiri dan kita sendiri tidak mahu peristiwa krisis perlembagaan
di Perak berulang," katanya.
Khabar angin tersebar luas melalui media sosial seperti Facebook dan
Twitter kononnya DUN Terengganu dibubarkan secara rasmi hari ini dan PRN
Terengganu akan diadakan dalam masa 60 hari selepas bekas Menteri Besar
Terengganu Datuk Seri Ahmad Said keluar Umno, dalam tempoh 24 jam
selepas beliau meletakkan jawatan sebagai ketua eksekutif negeri.
Turut mengikut jejak langkah Ahmad menjadi wakil rakyat Bebas adalah
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil Ghazali Taib dan Roslee Daud
(Bukit Besi).
Barisan Nasional (BN) kini memegang 14 kerusi daripada 32 kerusi DUN, diikuti PAS (14), PKR (satu) dan Bebas (3).
Bagaimanapun Speaker DUN Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong menafikan
spekulasi tersebut dan menegaskan DUN hanya boleh dibubarkan selepas
menteri besar yang baru Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman menghadap Sultan
Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk mendapat perkenan baginda. –
13 Mei, 2014.
The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment