Sarah
Bajc, teman wanita Philip Wood yang menaiki penerbangan Malaysia
Airlines MH370 menerima ugutan bunuh dan beberapa panggilan telefon aneh
sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac, lapor NBC News. – Gambar fail, 11
Mei, 2014.
Teman
wanita penumpang warga Amerika Syarikat (AS) yang menaiki penerbangan
Malaysia Airlines MH370 menerima ugutan bunuh dan beberapa panggilan
telefon aneh sejak pesawat itu hilang pada 8 Mac, lapor NBC News.
Sarah Bajc, teman wanita Philip Wood, juga dirompak dua kali sejak kehilangan pesawat itu.
Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) sedang menyiasat kejadian 'menakutkan' yang mengganggu Bajc.
Bajc memberitahu NBC News bahawa dia menerima pesanan teks ringkas yang
mengugut, "Saya akan datang bunuh awak pula seterusnya," kira-kira dua
minggu selepas pesawat itu hilang.
Beberapa imej lucah dan penggilan telefon menyeramkan juga diterima daripada nombor China yang sama.
"Ia satu lagi kejadian yang membuatkan saya tidak tahan, ia sangat mengganggu," kata Bajc kepada NBC News.
Menurut Bajc, panggilan telefon dan mesej itu bermula selepas
pangsapurinya diceroboh masuk buat pertama kali, seminggu setengah
selepas pesawat MH370 hilang.
"Sesiapa pun yang masuk tidaklah begitu berhati-hati kerana saya
seorang yang kemas, oleh itu, saya serta-merta dapat nampak beberapa
barang sudah digerakkan," katanya kepada NBC News.
"Penjaga rumah saya tiada, jadi ia tidak mugkin dia dan saya selalu
sampai ke rumah sebelum anak saya. Kata laluan pada peti besi saya
diresetkan, dan itu hanya berlaku apabila kata laluan yang salah
ditekankan sebanyak tiga kali."
Bajc memberitahu NBC News pencerobohan kali kedua berlaku beberapa minggu selepas itu.
"Jiran saya nampak dua orang meningggalkan rumah saya. Saya memang tidak jangkakan akan ada privasi (di Beijing)."
Dia memberitahu NBC News bahawa panggilan telefon berhenti selepas agen
FBI ditugaskan untuk menolong dan keluarga Woods dimaklumkan
tentangnya.
Bajc sedang mengetuai seruan oleh saudara-mara penumpang supaya para penyiasat menyiarkan data asal tentang pesawat hilang itu.
Beliau juga menyelar pegawai Malaysia dengan mengatakan penerimaan
Malaysia tentang analisis data oleh syarikat satelit Britain Inmarsat
tidak dikaji selidik secara lebih saintifik.
"Mereka gagal berkongsi dengan kami mengapa mereka menerima sumber
tunggal (Inmarsat) bagi analisis yang menggunakan kaedah yang tidak
pernah dicuba sebagai asas untuk mengesahkan pesawat itu di dasar laut
tanpa sesiapa yang terselamat," dipetik dari emelnya kepada media dalam
The Wall Street Journal.
Beliau turut menyelar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang
mengumumkan akan ada laporan awal untuk pihak umum dalam temuramah
eksklusif CNN.
"Saya bagai tidak percaya dengan perubahan perdana menteri ini...
beliau sedang membaca skrip yang ditulis oleh seorang perunding media
profesional berkelayakan," kata Bajc kepada CNN.
Beliau juga mengetuai usaha merayu kepada pemegang saham pembuat
pesawat Boeing agar memberikan tekanan untuk jawapan selepas gagal
mendapat sebarang maklumat daripada Putrajaya dan Malaysia Airlines bagi
persoalan yang berlegar tentang pesawat hilang tersebut.
Sebelum ini, Bajc juga menerima emel daripada eksekutif senior Fox yang
menawarkan untuk mengumpul berjuta dolar jika dia setuju tidak meminta
apa-apa tuntutan pampasan selepas itu.
Eksekutif itu kemudian dipecat daripada rangkaian berita itu.
Bajc sedang dalam proses berpindah dari Beijing untuk tinggal dengan
teman lelakinya, pekerja IBM Malaysia yang berusia 50 tahun.
Woods antara 239 penumpang yang hilang dalam pesawat itu. Beliau dalam
perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur apabila Boeing 777-200 ER itu
lenyap.
Pencarian udara dan laut menyeluruh dijalankan di Lautan Hindi tetapi
gagal mendapatkan apa-apa petanda tentang pesawat tersebut. – 11 Mei,
2014. The Malaysian Insider
No comments:
Post a Comment