Saturday, May 31, 2014

Sultan Nazrin ikon masa depan institusi Raja-Raja

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .
TELUK INTAN: PAS merakamkan  tahniah kepada Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang telah dimasyhurkan sebagai Seri Paduka Sultan Perak yang ke-35 atas kemangkatan Almarhum Raja Azlan Shah kelmarin.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) berkata, PAS melahirkan rasa gembira kerana rakyat Perak dapat terus dipimpin oleh seorang Raja yang adil dan bijaksana dalam memandu rakyat ke arah satu kejayaan yang lebih cemerlang pada masa yang akan datang.

"PAS yakin dan percaya melalui pengalaman, pendidikan dan daya intelektual baginda sangat penting untuk dikongsikan bersama.

"Saya rasa bahawa Nazrin bukan sekadar dapat menyumbang pemikiran beliau kepada rakyat Perak hatta kepada masyarakat Malaysia serta antarabangsa diatas wibawa beliau yang sangat kita banggakan," katanya ketika ditemui Harakahdaily di Markas Induk PAS Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, dekat sini hari ini.

Beliau menyatakan, Sultan Nazrin melambangkan seorang Raja yang mampu untuk membawa imej institusi Di-Raja ke arah lebih cemerlang yang dapat memastikan ianya sentiasa dimartabatkan.

Ujar Salahuddin, dengan kekuatan wibawa, peribadi dan pengetahuan beliau akan menjadi ikon kepada anak-anak muda Malaysia seperti mana beliau berkemampuan mencetuskan idea-idea serta gagasan pemikiran yang bersifat futuristik semasa beliau menjadi Raja Muda dahulu.

"Saya juga mengamati ucapan-ucapan beliau sewaktu menjadi Raja Muda. Ucapannya yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan bukan sahaja dibanggakan rakyat Malaysia tetapi ianya menjadi satu rujukan dunia apabila berucap di persada antarabangsa.

"Ianya menampakkan kemampuan beliau sebagai seorang pemimpin di masa hadapan khususnya dalam mengangkat darjat dan wibawa institusi Raja-Raja Melayu di negara kita," jelasnya lagi.

Sementara itu, Dewan Pemuda PAS Malaysia merafakkan takziah di atas kemangkatan Almarhum Sultan Muhibbuddin Azlan Shah.

Naib Ketuanya,  Ir. Khairil Nizam Khirudin (gambar) berkata, Almarhum Sultan Azlan banyak meninggalkan legasi di persada negara terutamanya dalam bidang politik, perundangan, pendidikan dan sukan.

"Kehalusan pekerti, ketokohan, kebijaksanaan dan sikap mesra antara ramuan keperibadiannya yang terukir di benak rakyat," ujar beliau.

Khairil menambah Almarhum Sultan Azlan mempamerkan penanda aras seorang sultan yang versatil dan berwibawa dengan memiliki merit yang tinggi dalam bidang perundangan dan penghakiman.

"Dilantik sebagai Presiden Mahkamah Persekutuan Malaysia (kini Ketua Hakim Negara) yang termuda dalam sejarah. Malah, pelbagai rekod keputusan penghakiman baginda tercatat sebagai masdar penting samada di dalam mahupun di luar negara," ujarnya dalam satu kenyataan media.

Menurut Khairil, Almarhum Sultan Azlan menumpahkan pelbagai usaha dan inisiatif sehingga mendorong Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya merintis jalan menganjurkan The Sultan Azlan Shah Law Lecture Series (Syarahan Perdana Undang-Undang Sultan Azlan Shah) yang bertaraf dunia.

"Dedikasi dan semangatnya melambangkan kecintaan kepada ilmu dan budaya intelektual," ujar beliau.

Khairil turut mengimbau jasa-jasa dicurahkan Almarhum Sultan Azlan pada sukan hoki sehingga digelar Bapa Hoki Malaysia.

Beliau bagi mewakili Dewan Pemuda PAS turut merafak jutaan tahniah di atas pertabalan Dr. Raja Nazrin Shah sebagai Sultan Perak Darul Ridzuan ke 35.

"Perwatakan baginda juga mirip dengan Almarhum Sultan Azlan. Kami berharap pemerintahan baginda disinari dengan cahaya keadilan dan kebenaran. Sesungguhnya ia mengundang keberkatan dan rahmat dari Allah SWT," ujarnya.

Beliau turut menitipkan mutiara titah Almarhum Sultan Azlan, “Mahkota akan hanya mendapat tempat di muzium kalau institusi raja terkandas dalam menjalankan tugasnya yang sebenar.” - HARAKAHDAILY, 30/5/2014

No comments:

Post a Comment