Monday, May 12, 2014

Tanpa BN, DAP dijangka menang mudah di Bukit Gelugor

OLEH LOOI SUE-CHERN May 12, 2014
Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan, calon bebas Mohamed Nabi Bux Mohamed Nabi Abd Sathar, Ramkarpal Singh daripada DAP bersama calon independen Abu Backer Sidek selepas penamaan calon ditutup. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 12 Mei, 2014.  
Timbalan Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM) Datuk Huan Cheng Guan, calon bebas Mohamed Nabi Bux Mohamed Nabi Abd Sathar, Ramkarpal Singh daripada DAP bersama calon independen Abu Backer Sidek selepas penamaan calon ditutup. – Gambar The Malaysian Insider oleh Hasnoor Hussain, 12 Mei, 2014. 
Selepas tamat penamaan calon hari ini yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, calon DAP Ramkarpal Singh Deo dijangka berdepan dengan laluan mudah tanpa kelibat calon lawan daripada Barisan Nasional (BN).

Anak ketiga mendiang Karpal Singh itu akan berdepan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan dan calon bebas, Mohd Nabi Bux Mohd Abd Sathar dari Gombak Setia dan Abu Backer Sidek Mohammad Zan dari Kelana Jaya.
Di pusat penamaan calon hari ini, pegawai bertugas Anuar Yahya mengumumkan keempat-empat nama calon sebaik ditutup pada jam 10.25 pagi di Dewan Sri Pinang hari ini.

 Ramkarpal tiba di pusat penamaan calon bersama kira-kira 500 penyokong parti dan Pakatan Rakyat (PR).
Daripada tiga pencabar tersebut, hanya Huan dianggap sebagai lawan yang serius kepada DAP.
Beliau merupakan Ahli Parlimen Batu Kawan sehingga Pilihan Raya Umum 2008 dan juga bekas naib presiden Gerakan sebelum meletak jawatan ekoran kemelut dengan kepimpinan parti dan kemudiaannya menubuhkan PCM.

Huan juga bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-13 lalu dengan harapan untuk merampas kerusi Parlimen yang beliau hilang, tetapi kalah kepada calon DAP, P Kasthuriraani dengan majoriti 25, 962 undi.
Huan dan calon bebas, A Mohan juga hilang deposit mereka.
Calon bebas Nabi Bux, 63, yang juga menawarkan diri sebagai calon sebelum ini memberitahu media beliau ahli PAS dari Selangor.
Bagaimanapun, timbalan presiden PAS Mohamad Sabu menafikan Nabi adalah ahli PAS seperti yang didakwa.

Semalam, akhbar PAS Harakah Daily melaporkan ketua penerangan PAS, Datuk Mahfuz Omar mendedahkan Nabi sebenarnya ahli Umno.
Parti baru, Penang Front Party yang mengisytiharkan rakan kepada BN serta dikatakan sebelum ini akan meletakkan calon bagaimanapun tidak kelihatan semasa hari penamaan calon hari ini.
Hari mengundi jatuh pada 25 Mei ini.
Kerusi Parlimen Bukit Gelugor kosong selepas kematian tragik Karpal di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Kampar, Perak pada 17 April lepas.

Jumlah pengundi Parlimen Bukit Gelugor adalah 82, 431 dan terdiri daripada 74.49% majoriti pengundi Cina, manakala kaum Melayu dan India serta lain-lain pula adalah 14.48%, 10.56% dan 0.48% masing-masing.
Mendiang Karpal merupakan penyandang kerusi tersebut untuk tiga penggal berturut-turut sejak 2004 hingga 2013.
Dalam pilihan raya lepas, DAP juga menyapu bersih kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Bukit Gelugor, Seri Delima, Air Itam dan Paya Terubong.

MCA pada Sabtu lepas mengumumkan untuk tidak bertanding di Bukit Gelugor dengan memberikan alasan hendak menumpukan perhatian dalam isu hudud yang ditimbulkan semula PAS.
Setiausaha agung DAP, Lim Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata BN menyedari kelemahan mereka, oleh itu tidak berani untuk bertanding.

"BN mengganggapnya seperti permainan. Mereka fikir ia satu keputusan bijak untuk menjauhkan diri.
"Tetapi satu saja saya mahu beritahu, jangan main-main," kata Lim yang ditemui sebaik berakhir penamaan calon di Dewan Sri Pinang hari ini. – 12 Mei, 2014. The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment