sinarharian
JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi di sini menjatuhkan hukuman denda
RM100,000 ke atas Tenaga Nasional Bhd (TNB) kerana menghina mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan turut memberi amaran keras kepada
juruukur yang diupah TNB, Ahmad Rustami Ramley, yang juga didapati
bersalah bagi kesalahan sama
Gunalan membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam Thomas
Philip, yang mewakili Pengarah Syarikat Lenang Development Zaharey
Jusoh; peguam Steven Thiru, Gurmel Singh serta Gregory Das bagi pihak
TNB manakala Ahmad Rustami diwakili peguam Gopal Sreenevasan dan Leong
Phaik Leng.
Beliau turut mengarahkan TNB membayar denda itu dalam tempoh 14 hari.
Pada 10 April lepas, Gunalan memutuskan TNB serta Ahmad Rustami
bersalah kerana menyembunyikan bahan bukti semasa perbicaraan kes saman
berhubung isu tanah setinggan yang difail Bukit Lenang Development dan
menetapkan hari ini untuk mendengar rayuan sebelum menjatuhkan hukuman.
Saman itu difail Zaharey Jusoh pada 2003 ke atas 300 penduduk setinggan
yang didakwa menceroboh serta mendirikan penempatan di tanah milik
syarikat berkenaan di Kampung Plentong di sini.
Syarikat itu turut menyaman TNB, Telekom Malaysia Bhd dan Syarikat Air
Johor (SAJ) Holdings Sdn Bhd kerana menceroboh tanah berkenaan serta
memberi kemudahan asas kepada penduduk setinggan.
Telekom dan SAJ telahpun menyelesaikan kes itu di luar mahkamah namun
TNB, menerusi Ahmad Rustami, menafikan ia mendirikan tiang elektrik di
kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, plaintif mengemukakan salinan laporan kerja ukur lengkap
yang dilakukan Ahmad Rustami untuk TNB, yang diperlukan bagi mendirikan
tiang terbabit, kepada mahkamah.
Terdahulu, Philip meminta mahkamah mengenakan denda RM4 juta ke atas
TNB sebagai peringatan dan pengajaran kepada pihak lain selain hukuman
setimpal ke atas Ahmad Rustami.
Thiru, Gurmel Singh dan Gregory Das pula merayu mahkamah mengenakan
denda RM10,000 ke atas TNB manakala Gopal dan Leong meminta Gunalan
sekadar memberi amaran kepada Ahmad Rustami. - Bernama
No comments:
Post a Comment