Mahfuz menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Chubadak Tambahan sambil diiringi Mazlan dan Tian Chua (terlindung).
KUALA LUMPUR:
Pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Pejabat Tanah dan Galian
(PTG) Wilayah Persekutuan sejak 23 Oktober tahun lalu meroboh rumah
penduduk Kampung Chubadak Tambahan tanpa perikemanusiaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Ramli Ahmad, 45, berkata, operasi
perobohan dilakukan walaupun beberapa keputusan mahkamah berpihak pada
penduduk termasuk pada tahun 2000 ketika kes dibawa ke Mahkamah Rayuan.
"Selepas
lebih 20 tahun, isu Kampung Chubadak Tambahan masih belum selesai
sehinggalah kes kita dibawa ke mahkamah baru-baru ini oleh Termizi &
Co.
"Hakim pun siap tanya, isu kampung ini belum selesai lagi?" cerita
Ramli kembali pada pertemuan NGO Anak Warisan dengan penduduk pada 15
Jun lalu.
Beliau berharap tindakan DBKL dan PTG yang dilihat tidak menghormati
perintah mahkamah yang membenarkan penduduk tinggal harus dibahaskan di
Parlimen.
"Bukan Kampung Chubadak Tambahan saja jadi mangsa. Beberapa kampung
lain termasuk tanah bergeran juga akan dimangsakan seperti Kampung
Padang Balang dan Kampung Bandar Dalam.
"Sikap kepimpinan yang ada pada hari ini dengan menggunakan cara
mereka berfikir saja dan tidak mengikut demokrasi yang mereka laungkan.
Kita ada perintah mahkamah pun tidak dihormati," ujarnya lagi.
Sementara itu, Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Peneroka Bandar
& Hal Ehwal Orang Asal PAS Pusat, Mazlan Aliman berkata, kes
membabitkan pengambilan tanah begitu menjadi-jadi di seluruh negara.
"Baru-baru ini, saya melawat tapak kubur Cina di Kampung Sungai
Kapal, Pengerang. Saudara Ah Chai, aktivis Pengerang berjalan sejauh 500
kilometer tuntut simpati kerajaan supaya tidak dikorek kubur yang
menjadi warisan keluarga puluhan tahun.
"Tapi sedang beliau berjalan kaki itu hampir 100 kubur berkenaan
dikorek oleh pihak PTG daripada 277 kubur di kampung itu," dedahnya.
Selain itu, ujar Mazlan, insiden di Kampung Plentong Tengah, Johor
Bahru yang menyaksikan ratusan kediaman warisan Melayu sebelum PRU 2008
ranap menyembah bumi.
"Walaupun
PM (Perdana Menteri) ketika itu Pak Lah minta tangguhkan perobohan
tetapi tidak sampai 10 minit selepas bercakap dengan Setiausaha Politik
PM dalam masa tiga hari saja, 300 rumah itu dimusnahkan," jelasnya lagi.
Menurut Mazlan yang juga AJK PAS Pusat, banyak kes melibatkan kampung
tradisi tidak memihak kepada rakyat. Pampasan bernilai RM18,000 untuk
beberapa kampung tradisi di Johor Bahru pun sampai hari ini pemaju
enggan berikan.
Difahamkan, terdapat beberapa pihak terlibat dengan pembangunan
Kampung Chubadak Tambahan iaitu Melati Ehsan Holdings Bhd, Pembinaan
Kery Sdn Bhd dan Sentul Murni Sdb Bhd.
Dalam hal berkaitan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dalam ucapannya di
majlis yang dihadiri lebih 100 penduduk kampung itu berkata, tidak wujud
koordinasi antara DBKL dengan pihak berkaitan.
"Kalau mereka ditawarkan rumah kos rendah sepatutnya pemaju
menanggung kos sewa sepanjang mereka tunggu rumah siap, nampaknya ini
tidak berlaku dalam kes Kampung Chubadak Tambahan," ujarnya lagi.
Pada 12 Jun lalu, seramai 58 penduduk kampung berkenaan memfailkan
injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebagai usaha menghalang
operasi perobohan selepas ini.
Mahkamah Tinggi telah mengeluarkan penghakiman ex-parte (sebelah
pihak) menghalang pemaju dan DBKL daripada merobohkan rumah penduduk
sehingga 26 Jun ini.
Sementara itu pada 14 Jun, PAS Kawasan Batu telah menganjurkan majlis
Makan Mustad'afin PAS Batu bagi meraikan para peneroka Bandar Kampung
Chubadak Tambahan.
Hadir pada majlis itu, Yang Dipertua PAS Kawasan, Cikgu Ishak Surin
dan Ahli Jawatankuasa Muslimat PAS Pusat, Wan Aishah Ariffin.
Keesokan harinya, Lajnah Tanah PAS Pusat turut menganjurkan majlis
bertemu penduduk dengan dihadiri Ketua Penerangan PAS, Datuk Mahfuz
Omar, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Pengerusi Lajnah Tanah PAS
Pusat, Mazlan Aliman.
Selain majlis dialog, penduduk turut menerima sumbangan barangan keperluan harian daripada Mahfuz.- HARAKAHDAILY, 17/6/2014
Keluarga ini terpaksa menumpang teduh di bangsal tempat letak kereta setelah rumah mereka dimusnahkan DBKL. Harakahdaily
No comments:
Post a Comment