Friday, June 20, 2014

Dua aktivis siswa UMS berdepan tuduhan baru

20 Jun 2014

Universiti Malaysia Sabah mengemukakan tuduhan baru ke atas dua aktivis siswa, seorang daripadanya berhubung kesalahan menganjurkan perhimpunan haram dan seorang lagi berhubung satu tulisan yang disiarkan di lidah parti PAS, Harakahdaily.

Kampus induk berkenaan mengeluarkan surat pertuduhan baru ke atas, Muhammad Fadhil Abdul Ghani, 23, dan Jamhuri Mohamed, 24, kedua-duanya dari Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL).

Muhammad Fadhil yang kini menjalani hukuman gantung pengajian, berdepan tuduhan menganjurkan satu perhimpunan haram pada 24 April, ketika kempen pilihan raya kampus sedang berlangsung.

Jamhuri (kiri) pula berdepan tuduhan memudaratkan nama baik pengarah UMSKAL, Dr Ismail Ali melalui tulisan disiarkan Harakahdaily bertarikh 28 Febuari lalu.

Surat pertuduhan bertarikh 17 Jun itu mengarahkan kedua-dua aktivis itu hadir untuk pertuduhan pada 27 Jun mengikut Kaedah 48 Akta Universiti dan Kolej Universiti.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman amaran, denda tidak lebih daripada RM200, larangan berada di dalam kawasan kolej kediaman, penggantungan pengajian dalam tempoh tertentu atau pemecatan dari universiti.

Seorang pegawai UMS ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan kandungan surat berkenaan, yang menyatakan  akan dijalankan oleh pegawai bahagian perundangan dan tatatertib universiti di kampus cawangan UMSKAL.

Sementara itu, Jamhuri memberitahu Malaysiakini bahawa tuduhan baru itu tidak patut dijalankan kerana beliau dalam proses merayu satu lagi tuduhan terdahulu, berhubung satu perhimpunan mengenai premis perniagaan siswa.

Rayuan tuduhan lama

“Sekarang ini timbul pula pertuduhan baru berkaitan penyiaran artikel dalam Harakahdaily, sedangkan proses rayuan kes pertuduhan sebelum ini masih berjalan, ini memang tak patut,” katanya.

Tulisan dalam Harakahdaily itu yang menjadi punca pertuduhan baru ini juga berkaitan isu sama – premis perniagaan siswa yang didakwa dirampas oleh bahagian hal ehwal pelajar UMSKAL.

Sementara itu, Muhammad Fadhil pula mendakwa pihak perundangan dan tatatertib membuat tafsiran yang salah ke atas kegiatan siswa pada 24 April yang dianggap sebagai perhimpunan haram itu.

Tambahnya, mahasiswa telah mengemukakan permohonan awal kepada pihak pentadbiran kampus, namun tidak mendapat respon daripada pihak tersebut.

“Saya dituduh anjurkan perhimpunan, tapi yang kita adakan pada waktu itu aktiviti kempen pilihan raya kampus di tempat semua pelajar sering berkumpul di kafeteria.

“Saya sedikit hairan bagaimana mereka boleh tafsirkan ia sebagai perhimpunan. Tidak patut jabatan tatatertib menafsirkan begitu,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Siri tindakan undang-undang ke atas siswa UMSKAL bermula sejak penganjuran satu demonstrasi pada 21 Februari lalu yang menyebabkan 16 orang pelajarnya diheret ke mahkamah universiti.

Tiga daripadanya, termasuk Muhammad Fahdil dijatuhkan hukuman gantung pengajian manakala lapan orang lagi dihukum buang asrama.

Lima lagi siswa sedang menunggu keputusan mahkamah universiti atas penglibatan dalam demonstrasi di hadapan bangunan pentadbiran kampus tersebut.

Siswa tersebut menganjurkan demonstrasi berkenaan bagi mempertahankan satu premis perniagaan yang dikendalikan mahasiswa sejak enam tahun lalu.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment