Tuesday, June 10, 2014

Kawal pemilikan warga asing - PAS Johor

HARAKAHDAILY | .

JOHOR BAHRU: PAS Johor menyarankan kerajaan negeri menggubal mekanisme kawalan kemasukan pelabur asing sama ada sebagai pembeli hartanah kediaman ataupun sebagai pemaju perumahan bagi mengelak harga hartanah kediaman yang melambung tinggi seperti dialami di wilayah Iskandar Malaysia (IM).

Pesuruhjaya PAS negeri, Aminolhuda Hassan (gambar) berkata, langkah ini wajar bagi memastikan keseimbangan pembangunan di IM khususnya di antara pemilik tempatan dan warga asing.

"Kita memang memerlukan pelabur asing datang ke negara kita bagi merancakkan ekonomi serta sektor hartanah. Walaubagaimanapun perlu ada mekanisme kawalan kemasukan pelabur asing dalam negara sama ada sebagai pembeli hartanah kediaman atau sebagai pemaju perumahan.

"Jika kawalan tidak dilakukan maka kesannya akan ditanggung oleh rakyat tempatan dalam bentuk kenaikan kos sara hidup disamping harga hartanah kediaman akan melambung tinggi seperti yang kita alami sekarang ini di IM," ujarnya ketika bangun berucap membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 (LPHJ) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) semalam.

Aminolhuda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parit Yaani mencadangkan agar nisbah atau peratus pemilikan warga asing ke atas hartanah ditetapkan supaya tidak melebihi 50 peratus atau lebih di sesuatu kawasan.

"Kerajaan sepatutnya belajar dari pengalaman Palestin di mana warga Yahudi membeli tanah melalui broker tempatan yang akhirnya tanah Palestin berjaya di miliki oleh Yahudi," katanya.

Beliau berkata penubuhan LPHJ adalah tepat pada masanya memandangkan perumahan adalah keperluan kepada setiap keluarga.

Industri perumahan, katanya sentiasa diselubungi pelbagai masalah seperti projek perumahan terbengkalai, perumahan siap tidak mengikut jadual dan tidak berkualiti, kekurangan rumah kos rendah atau mampu milik dan sebagainya.

Beliau berharap LPHJ dapat berperanan sebagai pusat sehenti supaya proses penyelesaian masalah perumahan dan pembangunan hartanah boleh dilakukan secara cepat dan berkesan.

Aminolhuda turut membentangkan tujuh cadangan PAS berhubung aspek perumahan dan hartanah negeri bagi pertimbangan kerajaan negeri.

Antara cadangan yang dikemukakan beliau adalah meminta LPHJ menguatkuasakan peraturan mewajibkan pembangunan kediaman melebihi lima ekar mempunyai 40% rumah kos rendah dengan harga M35,000 hingga RM40,000.

"Penguatkuasaan polisi ini penting bagi memastikan rakyat yang berpendapatan rendah khususnya bawah RM2,000 sebulan boleh memiliki rumah sendiri," ujarnya.

Beliau turut mencadangkan kuota Rumah Kos Sederhana Rendah berharga RM70,000 hingga RM80,000 bagi rakyat berpendapatan tidak melebihi RM3,500 sebulan; Rumah Mampu milik (A) berharga RM120,000-RM150,000 bagi rakyat berpendapatan tidak melebihi RM4,500 sebulan dan kediaman mampu milik (B) berharga antara RM160,000 – RM220,000 bagi mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM6,000 sebulan.

"LPHJ juga perlu membantu menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi oleh pemilik kediaman bertingkat antaranya kelewatan dalam pengeluaran hak milik strata, penubuhan Joint Management Body (JMT), penubuhan Management Corporation (MC), isu yuran penyelenggaraan, Singking Fund, isu penyelenggaraan bangunan, Tribunal Pengurusan Strata dan sebagainya," ujar beliau.

Aminolhuda turut mencadangkan supaya LPHJ meletakkan tempoh pajakan tidak melebihi 99 tahun bagi semua hartanah warga asing memandangkan rakyat Johor di Kg. Melayu JB, Kg. Melayu Kangkar Pulai dan Kg. Baru turut diberikan tempoh pajakan tanah.

Beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap isu pengambilan tanah rakyat secara paksaan atas nama pembangunan sedangkan masih ada tanah kerajaan yang berdekatan dengan projek pembangunan.

"Persoalannya mengapa ambil tanah rakyat sedangkan rakyat hanya memiliki tanah tersebut sejak turun temurun," ujarnya. - HARAKAHDAILY, 10/6/2014

No comments:

Post a Comment