KUALA LUMPUR:
Rang Undang-Undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 (LPHJ)
yang bakal dibentangkan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Johor, Isnin ini
turut mendapat kritikan bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor
Corporation (JCorp), Tan Sri Muhammad Ali Hashim (gambar).
Dalam satu kenyataan media yang
dikeluarkan semalam, Muhammad menyifatkan tindakan memberi kuasa
undang-undang kepada Sultan Johor untuk mencampuri urusan pentadbiran
negeri secara langsung akan mencemarkan kedudukan Sultan dan merosakkan
sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.
“Ia juga akan memburukkan lagi kecelaruan yang berlaku dalam
pentadbiran di negeri Johor, yang sejak kebelakangan ini banyak terjejas
setelah terdapat campur tangan secara langsung atau tidak langsung
Istana Johor.
“Jika dibiarkan, kecelaruan ini pasti merosakkan kepentingan besar
rakyat Johor, terutama apabila terdapat campur tangan dalam pentadbiran
tanah atau urusan GLC negeri,” ujar beliau.
Menurut Muhammad, rakyat Johor semakin bimbang melihat tanah dan
harta serta perniagaan strategik milik Johor terlepas kepada kepentingan
asing atau milik individu terpilih, dengan mengetepikan kepentingan
jangka panjang rakyat dan negara.
Beliau yakin kecelaruan ini berpunca daripada kecuaian kepimpinan serta kelemahan tindakan penguasa politik Johor.
“Perkara ini sepatutnya tidak timbul jika penguasa politik negeri
proaktif, terlebih dahulu bertindak tegas mempertahankan Perlembagaan
negara dan tidak mengkrompomikan status Sultan Johor sebagai Raja
Berperlembagaan tanpa kuasa mutlak,” tegas beliau.
Menurut Muhammad, walaupun Menteri Besar selaku Pengerusi Lembaga
Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) mengakui mempunyai kuasa mutlak
seumpama kuasa Pengerusi Jcorp, ia bukan alasan yang boleh diterima
untuk meneruskan RUU LPHJ.
“Pengalaman peribadi saya di JCorp jelas membuktikan kuasa mutlak
Menteri Besar selaku Pengerusi Jcorp pernah dikompromikan pemimpin
politik negeri.
“Pengerusi Jcorp ketika itu, sekali pun berkuasa eksekutif penuh,
gagal atau takut menggunakan kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang
kepadanya dan lebih berminat mematuhi sepenuhnya apa yang beliau
katakan sebagai ‘Titah Sultan Johor’,” jelas beliau.
Sehubungan itu, RUU LPHJ ujarnya adalah cadangan yang tidak dapat
diterima rakyat kerana bercanggah dengan Perlembagaan, juga satu duluan
(precedent) pentadbiran yang berbahaya kerana ia pasti merosakkan
kepentingan besar rakyat dan negara.
Kes duluan ini, ujarnya berpotensi mengancam masa depan JCorp dan
agensi negeri kerana apabila kedudukan Raja Berperlembagaan dikompromi,
terdapat kemungkinan semua pihak akan tededah tanpa soal kepada campur
tangan atau titah perintah istana.
“Rakyat Johor telah banyak menyaksikan keputusan kerajaan
kebelakangan ini yang tidak disenangi ramai. RUU LPHJ akan hanya
menambahkan kekeruhan situasi di Johor kerana apabila kedudukan Raja
Berlembagaan dikompromikan, ia berpotensi lebih merosakkan dan menjejas
kepentingan jangka panjang rakyat Johor khasnya dan warga Malaysia
amnya,” tegas beliau. - HARAKAHDAILY, 8/6/2014
No comments:
Post a Comment