Wednesday, July 23, 2014

Khalid tak kecil hati diganti parti sendiri

22 Jul 2014
Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau tidak berkecil hati apabila "digantikan" oleh partinya sendiri.

Menteri besar itu berkata beliau hanya bekerja untuk rakyat selagi diperlukan oleh rakyat Selangor.

"Saya tidak (terasa hati). Ini adalah politik dan saya masuk PKR kerana reformasi.

"Saya juga sangat seronok perkara ini (diganti). Boleh jadi tahun akan datang saya dapat berehat dengan cucu-cucu saya," kata beliau kepada wartawan di majlis berbuka puasa di sebuah masjid di Kuang hari ini.

Semalam Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Presiden Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail secara rasmi dipilih untuk menggantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor yang baru.

Alasannya ialah untuk memberi kestabilan dan mendapat kembali sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Khalid menegaskan beliau sedia diganti tetapi hanya jika diluluskan Dewan Undangan Negeri.

"Saya menyertai PKR bagi meneruskan reformasi dan membantu rakyat.

"Saya akan teruskan tugas sebagai menteri besar dengan penuh tanggungjawab, tekun dan amanah," kata beliau.

Sementara itu, ketika ditemui di majlis yang sama,  Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Abdul Samad berkata PKR perlu menghormati PAS Selangor sebagai  komponen dalam Pakatan Rakyat dan bertanya pendapat mereka terlebih dahulu sebelum menamakan calon pengganti.

Beliau berkata PAS Selangor dan Pusat tidak mencapai apa-apa keputusan mengenai pertukaran Abdul Khalid kepada Wan Azizah.

"Itu keputusan PKR, bukan keputusan Pakatan Rakyat. Bermakna sebarang keputusan kepimpinan negeri adalah dipulangkan kepada Pakatan," katanya.
Malaysiakini

No comments:

Post a Comment